Rabu, 3 Februari 2016

'Saya percaya mereka akan naikkan semula harga minyak'

SINAR HARIAN


minyak


KUALA LUMPUR - Kerajaan mungkin akan melakukan pengubahsuaian semula bajet 2016 sekiranya harga minyak mentah dunia turun di bawah paras AS$25 setong.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan tidak boleh 'menipu diri sendiri' dan harus sentiasa realistik dalam menentukan perbelanjaan negara.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Dialog Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, malam ini.

Pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengambil andaian paras minyak mentah dunia sekitar AS$30-AS$35 setong.

Bagaimanapun Husni berkata kemungkinan untuk harga minyak dunia jatuh terlalu rendah adalah amat mustahil kerana negara-negara pengeluar utama minyak mentah dunia tidak akan membiarkan keadaan ini yang boleh menjejaskan ekonomi mereka.

"Untuk harga minyak dunia jatuh sehingga AS$5 setong (contohnya) adalah mustahil kerana sebagai (negara) pengeluar minyak, mereka pasti mahu menjaga kewangan negara mereka.

"Sekiranya mereka membiarkan harga minyak terus jatuh, ia akan mengakibatkan kesan-kesan negatif kepada ekonomi mereka. Saya percaya mereka akan mengambil tindakan (untuk menaikkan semula harga minyak)," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: