Rabu, 17 Februari 2016

SAMPAI BILA KITA HARUS TERTINGGAL BERBANDING NEGARA JIRAN?

 shahbudindotcom

 

 
 
 
Apabila Tun Mahathir Mohamad mengatakan beliau tidak akan putus asa daripada berusaha mengundurkan Najib Razak, ia seharusnya merupakan berita gembira buat kita semua.

Ini kerana ia menunjukkan masih ada harapan untuk menyelamatkan negara ini dan memulihkan kepercayaannya di peringkat antarabangsa yang kita semua sedari telah terjejas teruk sejak timbulnya isu 1MDB dan derma ribuan juta yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Yang kita paling bimbang ialah jika Tun Mahathir tiba-tiba berhenti daripada mahu menyingkirkan Najib, malah lebih mendukacitakan jika ada khabar-khabar beliau pun terkulai sama dengan "umpan dedak" yang kini banyak ditaburkan di merata-rata sasaran.

Tetapi dengan bekas Perdana Menteri itu mengatakan, "akan terus bangun, cuba dan cuba lagi", sekurang-kurangnya perjuangan menyelamatkan negara ini masih lagi ada sinarnya.

Harus disedari bahawa sejak merdeka pada tahun 1957, inilah kali pertama negara dibelenggu dengan imej paling buruk yang berpunca daripada skandal peribadi melibatkan seorang pemimpin yang kemudian diletakkan seluruh negara untuk menanggung bebannya.

Lantaran itu, untuk memulihkan kembali imej negara, tiada lain caranya selain memastikan Najib tidak lagi duduk di kerusi empuk yang didudukinya sekarang.

Selagi ada Najib, segala-galanya akan bertambah buruk dan terus buruk tanpa kesudahannya.

Penyingkiran Najib boleh dilakukan sama ada melalui tekanan dalaman sebagaimana yang sedang diusaha-gigihkan oleh Tun Mahathir sekarang atau jika ia berlarutan sehingga ke tarikh PRU 14 akan datang, maka tiada pilihan lain selain memastikan UMNO dan BN ditanggalkan kuasanya daripada mentadbir negara ini.

Tiada sesiapa, kecuali pencinta dedak, yang sanggup melihat Najib terus menjadi Perdana Menteri selepas tahun 2018 nanti kerana ia hanya akan menjadikan negara terus terperosok dalam ketidaktentuan yang memeritkan semua orang.

Jika kita terus gagal menyingkirkan Najib, kita seharusnya malu dengan negara-negara jiran seperti Filipina, Indonesia dan Thailand yang lebih dulu ada kesedaran berbuat demikian.

Marcos, Suharto dan beberapa Perdana Menteri Thailand yang dipenuhi skandal dan kebejatan sehingga busuknya menerobos ke seluruh dunia, lebih awal disingkirkan dan ditolak demi satu tujuan iaitu menyelamatkan negara.

Malah beberapa negara di rantau Arab dan Afrika juga sudah pun berbuat demikian sejak beberapa tahun yang lalu.

Apakah kita bangsa Melayu dan beragama Islam yang sembahyang lima waktu, puasa, selalu berumrah serta menunaikan haji, masih juga tidak dapat menilai antara pemimpin yang baik dengan pemimpin yang penuh dengan masalah?

Apakah juga, melalui sembahyang, puasa, umrah dan haji, kita masih tiada kesedaran dan kekuatan dalam  mentafsir betapa hitamnya imej dan masa depan negara disebabkan pemimpin yang dipenuhi skandal peribadi itu?

Apa sebenarnya masalah sebahagian kita sehingga pemimpin penuh masalah peribadi seperti Najib masih mahu dikekalkan lagi?

Menolak dan bersama-sama menyingkirkan Najib bukanlah untuk memberi kemenangan kepada Tun Mahathir atau sesiapa, tetapi segala-galanya untuk kepentingan dan masa depan negara serta anak cucu kita juga.


Tiada ulasan: