Rabu, 3 Februari 2016

Ribut rosakkan 22 rumah di Teluk Intan

MALAYSIAKINI


Sebanyak 22 rumah di tiga kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik di sini rosak dilanda ribut kelmarin.

Antara rumah yang terbabit dalam kejadian 5.30 petang itu ialah Kampung Parit 4B sehingga mengakibatkan banyak bumbung rumah rosak teruk. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Nasib malang yang menimpa mangsa ribut itu mendapat perhatian segera Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang menziarahi penduduk berkenaan petang tadi.

Zainol Fadzi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Manik berkata penduduk terjejas diberi bantuan antara RM200 hingga RM1,000 menerusi tabung bencana daerah, bergantung kepada nilai kerosakan.

"Ini kejadian ribut pertama tahun ini," katanya, dan menambah bahawa lebih 500 rumah rosak akibat ribut dan sebanyak RM200,000 digunakan untuk baik pulih rumah pada tahun lepas.

Sementara itu, Muhammad Jam Hashim, 63, dan isterinya Siti Jamilah Abdullah, 50, berkata kejadian semalam menjejaskan persiapan perkahwinan anak perempuan pada Ahad ini.

"Barang-barang persiapan pengantin bersepah dan basah selepas bumbung bilik pengantin tercabut," kata Muhammad Jam kepada pemberita semalam.

Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Jam berkata ketika kejadian beliau sedang berehat di beranda rumah dan hanya mampu melihat angin menerbangkan atap zink rumahnya.

Shahrul Nizam Zakaria, 27, pula berkata beliau hanya mampu melaungkan azan dan berdoa dilindungi daripada perkara tidak diingini.

"Masa itu saya di ruang tamu dan tiba-tiba terdengar bunyi angin laju dan merobohkan bahagian dinding belakang dapur dan bumbung rumah tercabut," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: