Rabu, 17 Februari 2016

RAPAT: Isunya gaji, bukan rakyat malas

Anne Muhammad

 


Kaji semula gaji kepada pekerja tempatan yang sebahagiannya dibelenggu hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) atau berdepan protes massa, kata sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini.

Jurucakap Pertubuhan RAPAT Malaysia (RAPAT) S Bharathidasan berkata isu kemasukan warga Bangladesh yang dicadangkan kerajaan sepatutnya tidak timbul.

Sebaliknya kata beliau apa yang perlu dilakukan kerajaan adalah menilai semula gaji yang diberikan kepada warga tempatan supaya mencukupi bagi menampung kos sara hidup di negara ini.

“Kita nak kerajaan kaji semula gaji yang diberikan. Anak muda kita bukan malas bekerja tetapi gaji yang diberikan tidak mencukupi. Pada masa sama mereka perlu membayar pinjaman PTPTN.

“Lihat semula gaji macam mana, kaji semula gaji mininum. Jangan kata warga tempatan malas, tetapi harus dikaji.

"Kalau kerajaan tetap mahu bawa warga asing masuk ke Malaysia, kami akan adakan protes,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Singapura mahu, Malaysia tidak

Kerajaan baru-baru ini mempertahankan tindakan mahu membawa masuk kira-kira 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia dalam tempoh tiga tahun.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, kemasukan pekerja itu dibuat secara berperingkat-peringkat berdasarkan permintaan pasaran.

Jelas Bharathidasan sebenarya ramai rakyat di negara ini sanggup bekerja sebagai buruh dan ia dibuktikan dengan sesetengah mereka mencari nafkah di Singapura.

Walaupun menjadi buruh, katanya, mereka sanggup kerana bayaran yang diterima di negara luar berbaloi berbanding apa yang diterima di Malaysia.

“Lihat rakyat kita di Singapura, mereka bekerja biasa-biasa saja di sana tetapi gaji yang diterima jauh lebih baik dari apa yang mereka peroleh di sini.

"Ia membuktikan bahawa rakyat kita bukan pemalas,” katanya.

Ditanya mengenai butiran protes yang dirancang itu Bharathidasan berkata RAPAT sedang mengkaji perkembangan semasa isu berkenaan sebelum membuat sebarang langkah lanjut.

Hadir sama pada sidang media tersebut Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).


Tiada ulasan: