Sabtu, 27 Februari 2016

Rakyat Malaysia disaran labur dalam emas fizikal

SINAR HARIAN


emas


RAKYAT Malaysia disaran memperuntukkan antara lima hingga 10 peratus simpanan emas fizikal daripada portfolio simpanan keseluruhan mereka bagi membantu mengurangkan kesan daripada penurunan nilai ringgit dan pertumbuhan perlahan ekonomi sekarang.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Marketing Sdn Bhd, Datuk Wira Louis Ng Chuu Hau berkata, pelaburan emas fizikal memainkan peranan penting dalam situasi ekonomi berbeza dan ia merupakan instrumen  paling mudah diurusniagakan berbanding  derivatif yang lebih rumit serta mengandungi unsur spekulasi.

"Harga emas ditetapkan berdasarkan harga antarabangsa dan didagangkan dalam mata wang dolar AS,
jadi jika nilai ringgit jatuh berbanding  dolar AS, ia akan memberi kelebihan kepada pemilik emas," katanya kepada pemberita pada Seminar yang bertajuk Emas sebagai Penyelamat kejatuhan Ringgit, di sini, hari ini.

Beliau menjangkakan ringgit akan terus diniagakan pada paras 4.4 hingga 4.5 pada tahun ini, dan ini akan memacu harga emas untuk menjadi lebih tinggi.

Selain itu, katanya, harga emas dijangka terus meningkat selari dengan perdagangan antarabangsa kerana faktor pertumbuhan ekonomi global yang tidak memberansangkan menyumbangkan sentimen positif kepada pasaran emas.

"Memperkukuhkan nilai ringgit bukanlah senang, ditambah lagi dengan faktor kebanyakan bank-bank pusat telah mewujudkan pelan baharu, polisi kadar faedah sifar dan pelbagai program pelonggaran kuantitatif dan ini sebenarnya menyebabkan lebih ramai memilih untuk membeli dan menyimpan emas berbanding menyimpan wang di bank," katanya.

Selain itu, katanya, usaha bank pusat asing yang mengubah pelaburan bon ke dalam bentuk emas fizikal akan turut memberi kesan yang besar kepada permintaan emas dunia.

Seminar yang julung kali diadakan ini yang menggabungkan penceramah daripada sektor pelaburan emas dianjurkan oleh Public Gold dengan kerjasama Agrobank, Pos ArRahnu dan Koperasi Dagang Emas. - Bernama


Tiada ulasan: