Sabtu, 13 Februari 2016

Perlis menang besar, hari pembukaan Liga Perdana

Rai Jaringan
Para pemain Perlis meraikan gol kedua jaringan Mohd Alafi (dua, kanan) pada minit ke-9 ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada saingan bolasepak Liga Perdana 2016 di Stadium Tuanku Syed Putra malam tadi. - Foto Bernama
 

BEKAS jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh membuktikan kemampuan beliau mengendali pasukan Perlis setelah memperoleh kemenangan bergaya di laman sendiri dengan menewaskan pasukan Angkatan Tentera Malaysia(ATM) 6-1 pada aksi pembukaan Liga Perdana,semalam.

Skuad Singa Utara tidak menunggu lama untuk menghasilkan gol apabila bekas pemain pertahanan import ATM, Obinna Nwaneri membuka jaringan seawal minit kedua sebelum disusuli dengan jaringan daripada Mohd Alafi Mahmud pada minit ke 9.

Pasukan Perlis yang baru melayakkan diri ke Liga Perdana musim ini tampak cemerlang setelah pemain import mereka dari New Zealand, Kayne Vincent menjaringkan dua gol pada minit ke 20 dan 36.

Tidak puas dengan itu, pasukan Singa Utara menambah rekod jumlah gol mereka menerusi jaringan Mohd Afif Amiruddin pada minit ke 30 dan disusuli gol daripada Sadam Hashim pada minit ke-45.

ATM menerima gol sagu hati apabila Mohd Zaironi Yusof berjaya menghasilkan jaringan lima minit selepas babak kedua bermula.

Dengan kemenangan besar 6-1 keatas ATM semalam, Perlis kini merupakan pendahulu carta Liga Perdana dan berjaya membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing dengan pasukan lain pada musim ini.

Dalam pada itu, UiTM FC turut membuktikan kemampuan mereka apabila berjaya menewaskan Sabah 4-1 dalam perlawanan yang berlansung di Stadium UiTM, Shah Alam.

Penyerang import UiTM FC, Pavel Purishkin beraksi cemerlang apabila berjaya menghasilkan hatrik pada minit ke 31, 73 dan 89 dalam aksi pertamanya di Liga Perdana pada musim ini

Gol keempat UiTM FC disumbangkan oleh pemain import dari Brazil, Eliel da Cruz pada minit ke-81 manakala Sabah hanya berjaya merapatkan jurang setelah memperoleh satu gol pada minit ke 50 menerusi jaringan penyerang import dari Nigeria, Prince Nnake.

Di Stadium Hang Jebat, pasukan kendalian E.Elavarasan, PKNS FC mengalami kekalahan tipis 1-0 setelah ditewaskan oleh pasukan Kuala Lumpur dalam aksi pertembungan yang berlangsung semalam.

Gol kemenangan Kuala Lumpur dijaringkan oleh penyerang import  dari Brazil, Anselmo Da Silva pada minit ke-65 sekaligus meletakkan pasukan berkenaan di tangga keempat carta liga.

Sementara itu, Negeri Sembilan gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan pasukan Kuantan FC.

Pertembungan dua pasukan ini dicemari dengan insiden pergaduhan apabila perlawanan terhenti seketika pada minit ke 61sehingga menyebabkan pengadil terpaksa melayangkan kad merah kepada Hariri Safii dari pasukan negeri Sembilan dan Hazwan Fakrullah dari Kuantan FA.

Johor Darul Ta’zim (JDT) II yang menerima kunjungan daripada DRB Hicom FC di Stadium Pasir Gudang dikejutkan setelah tewas 3-1 dalam pertembungan tersebut.

DRB Hicom beraksi cemerlang  menerusi jaringan Mohammad Nazri Kamal pada minit ke-12, Ivan Babic (m33) dan Kim Jin-yong (m78).

Gol tunggal JDT II dijaringkan oleh pemain import dari Singapura, Shahril Ishak pada minit ke 27 sekaligus meletakkan pasukan berkenaan di tangga ke 10 carta liga.

Dalam pada itu, Sime Darby FC hanya mencatatkan keputusan seri apabila terikat 2-2 dalam pertemuan dengan Melaka United di Stadium Perbandaran selayang.

Pemain import dari Ivory Coast, Frederic Pooda berjaya menghasilkan dua gol pada minit kedua dan 25 namun Melaka United berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan daripada Balsa Bozovic pada minit ke 18 dan Nurshamil Abdul Ghani pada minit ke 90.


Tiada ulasan: