Rabu, 3 Februari 2016

PERDASAMA desak penjualan Shell Refining Company bawah harga pasaran disiasat

 
Urusniaga antara Royal Dutch Shell dan syarikat China, Malaysia Hengyuan International Ltd telah membawa kerugian besar kepada pemegang saham yang terdiri daripada institusi dan rakyat tempatan, dakwa Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia.


moehamad-izat-emir_shell_perdasama_600


PETALING JAYA: Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) menggesa pihak berkuasa menyiasat penjualan Shell Refining Company (Federation of Malaya) Bhd oleh Royal Dutch Shell kepada syarikat China, Malaysia Hengyuan International Ltd (MHIL) yang dibuat di bawah harga pasaran.

Presiden PERDASAMA Datuk Moehamad Izat Emir berkata, urusniaga itu telah membawa kerugian yang amat besar kepada pemegang saham syarikat itu, yang terdiri daripada rakyat dan institusi tempatan.

“Kami hairan kenapa selepas dua hari pengumuman penjualan, tiada reaksi daripada Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia dan Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti walaupun dalam keadaan biasa mereka akan cepat bertindak terhadap perkara seperti ini.

“PERDASAMA difahamkan terdapat syarikat bumiputera yang membida dengan harga yang lebih tinggi iaitu RM420 juta tetapi ditolak,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan The Star Online 2 Februari, syarikat minyak gergasi Royal Dutch Shell menjual Shell Refining Company (Federation of Malaya) Bhd kepada MHIL dengan harga RM276 juta, walaupun penilaian transaksi itu pada nilai RM551 juta atau RM1.80 sesaham dan modal pasaran syarikat itu setakat 29 Januari lalu adalah RM1.48 bilion.

“Harga saham syarikat itu terus jatuh pada urusniaga awal hari ini iaitu sebanyak 29.9 peratus yang dilihat sebagai tindakan protes oleh pemegang saham terhadap harga penjualannya,” katanya lagi.

Beliau menambah, pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Sekuriti perlu menyiasat urusniaga tersebut, apatah lagi 30 peratus saham syarikat itu dimiliki institusi penting negara seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

“Penjualan tersebut juga meragukan kerana sebulan sebelum pegumuman dibuat, harga saham SRC di Bursa Malaysia diniagakan pada RM6, sebelum jatuh ke RM4.93 sehari sebelum pengumuman dan terus menjunam ke RM3.46 sehari selepas pengumuman,” katanya.

Katanya lagi, Shell Refining Company adalah aset negara kerana mampu menapis 150,000 tong minyak mentah sehari serta dimiliki salah sebuah syarikat tertua dalam negara yang telah wujud lebih 100 tahun lalu.

“Jadi, kenapakan dijual begitu murah dan kepada pihak asing, bukan kepada rakyat tempatan yang merugikan para pelabur Malaysia sendiri seperti PNB, KWSP, KWAP dan juga orang ramai?” soalnya lagi.

Tiada ulasan: