Rabu, 10 Februari 2016

Penyata kewangan berpiawai, menurut prinsip syariah – TH

 
Keuntungan terkumpul masih positif selepas pembayaran bonus RM3.2 bilion


tabung-haji


PETALING JAYA: Menepis dakwaan bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) mengamalkan ‘creative accounting’, TH memaklumkan bahawa penyata kewangannya disediakan mengikut piawaian pelaporan Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB), malah menurut prinsip syariah juga.

TH juga memberitahu bahawa “Ketua Audit Negara telah mengesahkan Jabatan Audit Negara telah menyemak” polisi perakaunan yang digunapakai oleh TH “adalah konsisten dan mematuhi konsep berhemat (prudence)”.

“Oleh yang demikian, tiada sebarang isu berkaitan dengan ‘creative accounting’ yang digunapakai oleh TH seperti yang digembar-gemburkan oleh setengah pihak,” menurut TH dalam satu kenyataan yang diterima FMT.

Seterusnya, TH menekankan bahawa keuntungan terkumpulnya masih kekal positif selepas pembayaran bonus 2015, yang “dibayar berdasarkan daripada keuntungan daripada tahun semasa dan tidak sesekali menggunakan rizab.”

Awal bulan ini, TH mengumumkan bonus sebanyak 3 peratus dan dividen sebanyak 5 peratus untuk pencarum.

“TH telah mengkredit sebanyak RM3.2 bilion bayaran bonus kepada 8.85 juta pendeposit sejak Isnin, 8 Februari 2016,” menurut TH, manakala keuntungan terkumpul lembaga itu kini adalah sebanyak RM609 juta berbanding RM293 juta pada akhir tahun 2014.

Berhubung isu rizab negatif, TH menjelaskan pihaknya mempunyai dua kategori rizab iaitu Rizab Boleh Agih dan Rizab Tidak Boleh Agih.

Menurut TH, Rizab Boleh Agih itu terdiri daripada keuntungan terkumpul dan keuntungan semasa, manakala Rizab Tidak Boleh Agih adalah daripada Rizab Nilai Saksama (AFS Reserve) yang berubah mengikut pasaran saham semasa.

Tiada ulasan: