Isnin, 15 Februari 2016

Pengeluaran permit kelulusan baharu dikaji semula

SINAR HARIAN


bauksit
Tapak pusat mencuci bauksit yang kemudiannya dibawa ke pelabuhan untuk dieksport.


KUALA NERUS - Kerajaan sedang dalam proses mengkaji semula pengeluaran permit kelulusan (AP) baharu untuk memastikan baki simpanan 2.4 juta metrik tan bauksit di Pelabuhan Kemaman dapat dibawa keluar ke China sebelum tamat tempoh moratorium 14 April depan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata semalam genap sebulan tempoh arahan moratorium kepada pengusaha bauksit untuk mengeluarkan baki simpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan namun operasi membawa keluar baki bauksit itu tidak dapat dijalankan berikutan cuti Tahun Baru Cina.

"Kita bagi syarat, dalam masa sebulan untuk bawa keluar semua simpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan, ada dua bulan lagi... daripada 3.2 juta tan metrik bauksit sebelum ini, 2.4 juta masih lagi tinggal di Pelabuhan Kuantan," katanya kepada pemberita selepas melawat projek mencegah hakisan pantai di Pantai Tok Jembal di sini hari ini.

Beliau berkata selepas tamat tempoh moratorium itu pengusaha tidak mempunyai alasan lagi untuk tidak menghabiskan baki bauksit yang masih lagi tinggal di Pelabuhan Kuantan.

Dalam pada itu, Junaidi berkata kerajaan tidak mengeluarkan sebarang kos untuk membersihkan kawasan yang terjejas akibat bauksit dalam tempoh sebulan ini kerana semuanya ditanggung pihak pengusaha bauksit itu sendiri.

Junaidi berkata dianggarkan RM500,000 perbelanjaan digunakan untuk membersihkan kawasan terjejas iaitu Jalan Kuantan-Pelabuhan, Jalan Bukit Goh, Jalan Bukit Kauntan, Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan Bypass, Jalan Gebeng Bypass, Jalan Jerangau Jabor dan Jalan Bukit Sagu-Cherul.

Pada 13 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas akibat perlombongan bauksit bermula 14 Januari hingga 14 Februari. - Bernama


Tiada ulasan: