Khamis, 18 Februari 2016

Pemuda PAS gesa kaji semula pelaksanaan DLP

Oleh Wan Anis Ilyani W. M. Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pemuda PAS percaya pelaksanaan Program Dwi Bahasa (DLP) di sekolah rendah dan menengah akan membuka jurang lebih besar di antara masyarakat bandar dan luar bandar.
 
Ketuanya, Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz dalam pada itu mendakwa pelaksanaan program itu juga akan menenggelamkan kepentingan Bahasa Melayu di negara ini.
 
"Ia juga dipercayai akan membentuk dua aliran dalam sistem pendidikan negara dengan sekolah-sekolah elite dan bandar sudah pasti lebih cenderung menggunakan Bahasa Inggeris seterusnya meletakkan sekolah yang menggunakan Bahasa Melayu di bahagian luar bandar sebagai "kelas kedua".
 
"Dengan kedudukan Bahasa Melayu yang semakin terpinggir dalam masyarakat hari ini akibat faktor globalisasi, program DLP dipercayai akan lebih menenggelamkan fungsi dan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan.
 
"Justeru, penilaian semula terhadap perlaksanaan DLP adalah amat wajar dan mustahak. Pihak yang bertanggungjawab seharusnya lebih peka dan melakukan penelitian yang meluas bagi melaksanakan perubahan terutamanya melibatkan aspek pendidikan," demikian memetik sebahagian kenyataan medianya hari ini.
 
Nik Mohamad Abdul memberi respon terhadap usaha kerajaan melaksanakan program dwi bahasa, bermula awal tahun ini dengan membabitkan 300 buah sekolah rendah dan menengah sebagai projek rintisnya.
 
Selain PAS, Pakatan Harapan juga antara pihak yang lantang membantah DLP dengan mendakwa akan memberi kesan besar kepada sistem pendidikan negara.
 
Pembangkang menyifatkan ia seperti menuju kembali ke zaman penjajahan sebelum merdeka yang menggambarkan wawasan kabur dan sentiasa bertukar sehingga menyulitkan guru dan memperjudikan masa depan pelajar.
 
 

Tiada ulasan: