Isnin, 15 Februari 2016

PAS: Tak perlu ungkit masa mereka dengan AMANAH

MALAYSIAKINI




Seperti Parti Amanah Negara (AMANAH), PAS juga kini enggan memanjangkan isu berkaitan dakwaan anggota mereka telah kembali ke pangkuan, daripada parti serpihan.

Naib Presiden PAS Datuk Iskandar A Samad berkata beliau tidak berminat mengulas isu itu atau menghebohkan siapa dan berapa ramai mereka.

“Yang penting mereka telah kembali kepada PAS. Tidak perlu kita mengungkit masa mereka bersama AMANAH.

“Lupakan sahaja episod tersebut,” katanya sambil mengingatkan keutamaan berkhidmat kepada rakyat adan menumbangkan BN.

Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub (gambar) pada 11 Februari lalu berkata mereka tidak akan membuang masa menyiasat dakwaan anggotanya kembali menyertai PAS.

Bagaimanapun, kata bekas naib presiden PAS itu, gambaran sebenar menunjukkan PAS sedang berusaha melarang anggotanya menyertai program AMANAH.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan sehari sebelum itu mendakwa mempunyai bukti ada anggota AMANAH mengubah haluan menyokong perjuangan PAS.

Justeru meminta kepimpinan AMANAH untuk menyiasat sendiri perkara itu kerana beliau tidak akan mendedahkan nama-nama individu yang terlibat.

AMANAH digerakkan oleh sekumpulan bekas pemimpin-pemimpin kanan PAS yang ditolak besar-besaran dalam pemilihan PAS Jun tahun lalu.


Tiada ulasan: