Rabu, 3 Februari 2016

Pas sedia rampas Kedah, bukan isu Mukhriz

Muhammad Sanusi Md Nor


SHAH ALAM - Jentera Pas Kedah sudah lama bersiap sedia untuk merampas kembali negeri itu setelah gagal mempertahankannya pada PRU13 lalu.

Timbalan Pesuruhjayanya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Pas tidak mahu kejayaan mereka nanti dinilai sebagai mengambil kesempatan ke atas krisis yang sedang melanda Umno negeri itu.

“Pas bersedia untuk menghadapi Mukhriz (bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir) sekalipun. Kita tak mengharapkan krisis dalam Umno ini memberi kita punca kemenangan. Kita mahu kita menang atas usaha kita sendiri. Apabila orang muda marah Mukhriz dibuang, kira bonuslah. Tapi bukan kita boleh jadikan itu faktor kita nak raih sokongan rakyat.

“Kita mahu rakyat terdidik dengan politik yang matang dan berteraskan Islam. Kalau kita ambil kesempatan atas ‘orang muda marah Umno Kedah kerana depa sokong Mukhriz’, jadi, kalau Umno sudah berjaya memulihkan sokongan orang muda, depa lari pada Umno semula.

Marahnya orang muda kepada Bashah itu marah yang patut tapi bukan itu akan jadi punca Pas yakin menawan Kedah,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Mukhriz akhirnya mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta pagi tadi selepas beliau hilang sokongan majoriti di Dun Kedah.

Perkara itu diramalkan penganalisis bahawa Umno berisiko kehilangan sokongan pengundi muda dalam PRU14.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya terus mengukuhkan jentera parti dan mendakwa jentera Pas dan petugas-petugasnya yang paling efisien ketika menghadapi pilihan raya lalu.

“Apabila kita memperkemaskan balik semua jentera kita di semua peringkat, saya yakin, ini memberi manfaat kepada semua orang yang mengadakan pakatan politik dengan Pas,” katanya.

Ketika dibangkitkan tentang kemampuan Pas merampas kembali Kedah tanpa bantuan parti pembangkang yang lain, beliau berkata, “kita tak kata macam itu.

Tapi dari Pas sendiri, kita sudah perkemas jentera kita ke tahap maksimum. Kalau ada bantuan daripada parti lain itu, boleh.

Namun beliau menegaskan bahawa Pas Kedah senada dengan Pas Pusat yang hanya menjalinkan tahaluf siyasi dengan PKR tidak bersama DAP.


Tiada ulasan: