Ahad, 14 Februari 2016

Pantai Kasih: Kementerian Pendidikan abai masalah sosial?

Anne Muhammad

 


Kementerian Pendidikan disifatkan seperti mengabaikan masalah sosial remaja masa kini ekoran tetap menggunakan Novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin bagi sesi pengajaran dan pembelajaran komponen sastera (Komsas) tingkatan empat meskipun terpalit dengan unsur lucah.

Penulis Bebas, Syahril Azrul berkata tindakan kementerian itu hanya menunjukkan mereka tidak mempunyai sifat tanggungjawab terhadap masalah sosial di kalangan remaja di negara ini.

“Kalau nak cakap agak kasar, sebab apa yang berlaku pada pengalaman sebelum ni memang sifat Kementerian Pendidikan ni memang sombong.

“Kementerian Pendidikan sentiasa mengabaikan masalah sosial remaja hari ini. Kementerian Pendidikan tak ada sifat bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Inilah masalahnya,” katanya kepada Malaysiakini.

Syahril yang menggunakan nama pena Amni Jagat berkata, novel itu tidak sesuai untuk diajarkan di sekolah apatah lagi ia merupakan komponen sastera.

“Bukan sesuai novel macam tu diajarkan kepada remaja di sekolah apatah lagi ia adalah komponen sastera.

“Sebelum ini pun ada cadangan untuk mengadakan mata pelajaran seks jadi di situ pun kita dah boleh mengukur betapa masalahnya kementerian pendidikan di Malaysia,” katanya.

Gelaran paria di sekolah

Mengulas lanjut katanya, gelaran ‘Paria’ pernah digunakan dalam novel pembelajaran Komsas yang hanya memberikan kesan negatif dalam perhubungan kaum.

“Kesannya akan pergi kepada perkara yang negatif. Contoh pada novel Interlok suatu ketika dulu, remaja di sekolah menjolok gelaran 'Paria' pada remaja India di sekolah.

“Ini kerana remaja berumur semuda 16 tahun masih belum boleh menimbang yang mana baik dan mana yang buruk. Jadi bila ada suatu galakan apatah lagi pada pembelajarannya di sekolah ia akan menjadi lesen untuk mereka (melakukan) perbuatan tersebut,” katanya.

Bergantung pada guru mengajar

Bagi Penulis Novel Muda, Azrin Fauzi pula mempunyai tanggapan yang berbeza, menurutnya tidak ada unsur lucah dalam sastera dan menjadi tanggungjawab guru untuk menerangkan kepada pelajar di sekolah.

“Bagi saya, kelucahan tidak wujud (dan tidak akan pernah wujud) dalam sastera. Ini sama juga halnya dengan moral. Meminjam kata-kata Oscar Wilde, "Tidak ada apa yang disebut sebagai buku yang bermoral atau tidak.

“Yang ada cuma buku yang ditulis dengan baik atau sebaliknya. Itu saja." Jadi, jika buku itu ditulis dengan baik (jika itulah yang dipersetujui), mengapa tidak untuk mempelajari daripadanya?

“Itu bergantung kepada bagaimana guru mengajar sastera itu sendiri,” katanya.

Lambakan buku sasterawan

Bagaimanapun, beliau hairan mengapa lambakan buku sasterawan negara tidak diajar kepada pelajar di sekolah.

“Tetapi hairan juga saya, kerana saya dikenalkan dengan lambakan tulisan para Sasterawan Negara kita semasa di sekolah dulu. Mengapa kini tulisan-tulisan mereka begitu jauh sekali dengan pelajar-pelajar kita?,” katanya.

Isu novel Pantai Kasih menjadi perhatian apabila beberapa pihak tampil mempertikaikan kesesuaiannya dijadikan bahan pembelajaran subjek Komsas tingkatan empat.

Selain kualiti sastera yang dilihat tidak cukup meyakinkan, kewujudan unsur lucah dalam novel itu juga tidak disenangi ramai atas faktor kesesuaian usia pembaca.


Tiada ulasan: