Ahad, 14 Februari 2016

Nelayan terpaksa jadi ‘hamba’ tauke demi sesuap nasi





Para nelayan di Jeram, Kuala Selangor melahirkan kesulitan yang dihadapi mereka disebabkan sistem orang tengah yang terpaksa diikuti sejak sekian lama dan kesukaran mendapatkan bantuan daripada kerajaan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 14 Februari, 2016.Para nelayan di Jeram, Kuala Selangor melahirkan kesulitan yang dihadapi mereka disebabkan sistem orang tengah yang terpaksa diikuti sejak sekian lama dan kesukaran mendapatkan bantuan daripada kerajaan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin. 
 
 
Demi kelangsungan hidup, serta tiada pilihan lain, sebahagian nelayan di Jeram, Kuala Selangor terpaksa menjadi “hamba” kepada orang tengah, susulan terikat dengan mereka yang majoritinya pemilik bot dan peralatan menangkap ikan.

Nelayan pesisir pantai, Rassali Rahman, 56, memberitahu The Malaysian Insider, sejak mula menjadi nelayan pada 1978, beliau sudah terikat dengan orang tengah yang dipanggil “tauke”, dan sejak itu pendapatannya terpaksa dibahagikan 3.

“Katakanlah hari itu saya memperoleh hasil tangkapan sebanyak RM200. RM100 digunakan untuk kos minyak bot, baki RM100 lagi saya perlu bahagi 3 – tauke, saya dan awak-awak (pembantu) – seorang baru dapat RM33.

"Bayangkanlah. Macam mana kami nak hidup? Tahan tidak tahan, berpuluh tahun sudah saya menjadi nelayan,” katanya ketika ditemui di jeti Jeram, Sungai Buloh, di Kuala Selangor, baru-baru ini. 
 
 Bapa kepada 8 anak itu juga berkata, terdapat ramai orang tengah di kawasan berkenaan, kebanyakannya memiliki lebih daripada 1 bot untuk menangkap ikan.

Manakala di kawasan Jeram sahaja, terdapat lebih kurang 400 nelayan dengan sebahagian besarnya bekerja untuk tauke.

“Tauke saya sahaja ada 15 buah bot, kami yang menjadi nelayan ini tiada pilihan lain, semua hasil tangkapan perlu diserahkan kepada mereka,” katanya.

Rassali Rahman berkata, hasil jualan yang diperoleh melalui sistem tauke adalah terhad kerana harga yang diberikan untuk tangkapan mereka lebih rendah berbanding nelayan yang menggunakan bot mereka sendiri. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 14 Februari, 2016. 
Rassali Rahman berkata, hasil jualan yang diperoleh melalui sistem tauke adalah terhad kerana harga yang diberikan untuk tangkapan mereka lebih rendah berbanding nelayan yang menggunakan bot mereka sendiri. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin. 
 
Rassali berkata, hasil jualan yang diperoleh melalui sistem tauke itu juga terhad kerana harga yang diberikan untuk tangkapan mereka lebih rendah berbanding nelayan yang menggunakan bot mereka sendiri.

“Contohnya harga udang, sekilogram mereka ambil daripada kita sekitar RM22, tetapi kalau kita menggunakan bot sendiri, kita boleh letakkan harga yang tinggi, sekitar RM36 sekilogram.

"Kemudian, kita nampak di pasar, udang itu dijual pada harga sehingga RM50 sekilogram,” katanya.

Sudah puas minta bantuan LKIM
 
Turut menerima nasib sama, Zakaria Saad, 50, juga menggunakan sampan tauke untuk menangkap ikan.

“Kita sudah puas meminta bantuan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Sejak mula-mula menjadi nelayan, saya sudah membuat permohonan.

"Tetapi sampai sekarang masih tidak menerima jawapan,” kata bapa kepada 5 anak itu.

Menurutnya, proses birokrasi yang terpaksa ditempuh juga membuatkan mereka mula muak untuk mengemukakan permohonan.

“Kita minta bantuan bot, enjin dan peralatan menangkap ikan. Harganya semua sekitar RM20,000 hingga RM30,000 bagi bot bersaiz 23 kaki,” katanya.

Dengan hasil tidak menentu tambahnya, mustahil mereka mampu memiliki bot dengan hasil titik peluh sendiri.

Dia turut mendakwa, terdapat juga tauke yang menggaji pekerja asing sebagai nelayan, sedangkan tindakan itu salah di sisi undang-undang.

“Memang ada tauke yang menggaji pekerja asing, tetapi di Jeram jumlahnya tidak begitu ketara. Kalau ditangkap, sia-sia, lesen menangkap ikan akan digantung,” katanya.

Individu yang dipanggil "tauke" adalah orang tengah yang menjadi “majikan” kepada nelayan-nelayan tersebut, dan sekiranya mereka memerlukan bantuan kewangan, mereka akan mendapatkan pinjaman daripada individu itu.

Tauke pasang “spy”
 
Walaupun menggunakan bot dan peralatan menangkap ikan seperti pukat milik tauke, setiap nelayan perlu mendapatkan lesen terlebih dahulu sebelum dibenarkan turun ke laut menangkap ikan.

“Saya tidak ada tanah, tidak ada kebun. Rumah pun duduk di atas tanah pusaka milik ibu, berkongsi bersama adik-beradik yang lain. Kami ini umpama hamba,” katanya.

Yahya Sampol, 51, berkata, walaupun mereka bekerja sebagai nelayan, ikan yang dimakan di rumah juga terpaksa dibeli di pasar memandangkan hasil yang dikutip perlu diserahkan kepada tauke bagi membolehkan mereka menerima pendapatan mencukupi.

"Ada juga yang jual ikan kepada orang lain di laut, tidak jual kepada tauke.

"Tetapi dia (tauke) ada pasang ‘spy’. Dia tahu kalau kita menipu dan jual kepada orang lain untuk dapatkan harga lebih tinggi,” katanya sambil menambah, tindakan itu terlalu berisiko untuk dilakukannya.

Yahya Sampol (tengah) memberitahu, kebanyakan nelayan tidak sanggup mengambil risiko menjual hasil tangkapan kepada orang lain kerana dikhuatiri diketahui tauke. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 14 Februari, 2016. 
Yahya Sampol (tengah) memberitahu, kebanyakan nelayan tidak sanggup mengambil risiko menjual hasil tangkapan kepada orang lain kerana dikhuatiri diketahui tauke. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin. 
 
Walaupun berdepan kesukaran mencari nafkah, 2 daripada 8 anak Rassali berjaya  melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat diploma di institusi pengajian tinggi awam dalam negara.

Beliau menceritakan pernah terpaksa meminjam wang daripada beberapa sumber termasuk tauke, untuk membelikan komputer riba untuk anaknya.

"Susah macam mana pun, demi anak-anak, saya gagahkan juga. Pinjam sana sikit, sini sikit. Pinjam dengan tauke. Habis, macam mana? Anak nak belajar.

“Saya tidak mahu anak saya susah seperti saya. Biarlah mereka berjaya. Nanti apabila saya sudah tidak lagi mampu menangkap ikan, saya harapkan mereka akan menjaga saya,” katanya.

Menurutnya, walaupun tauke akan memberikan pinjaman kepada mereka, setiap hutang perlu dibayar, dan disebabkan terikat dengan hutang itu, mereka terpaksa menerima harga yang dibayar kepada mereka untuk hasil tangkapan.

Rassali juga menetap di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibina Lembaga Zakat Selangor, di Bukit Panjang, yang mana perlu dikosongkan sekiranya dia dan isteri meninggal dunia kerana rumah itu harus diserahkan kepada orang lain yang memerlukan.

“Nanti kalau saya dan isteri meninggal dunia, saya tidak tahu mana anak-anak saya nak pergi, mereka perlu berpindah,” katanya.

“Hidup saya ini umpama hamba, kerja jadi hamba, rumah sendiri pun tidak ada.”

LKIM memang tak beri bot
 
Pengerusi LKIM, Datuk Irmohizam Ibrahim yang dihubungi The Malaysia Insider bagaimanapun berkata, pihaknya tidak mempunyai program bantuan enjin bot dan bot, sebaliknya ia merupakan program Azam Tani di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Setiap permohonan akan diteliti dan diproses berdasarkan kedudukan peruntukan sedia ada, buat masa ini, pihak Tekun (Tekun Nasional) ada (menawarkan) bantuan pinjaman bot dan enjin untuk nelayan.

“Setakat ini, LKIM tidak pernah mempunyai program bantuan enjin bot dan bot. Saya berharap nelayan tersebut tampil ke pejabat LKIM Daerah Kuala Selangor,” kata Irmohizam, melalui khidmat pesanan ringkas WhatsApp kepada The Malaysian Insider.

Mengulas berhubung warga asing yang bekerja sebagai nelayan di negara ini, beliau berkata, aduan perlu dibuat kepada pihak berkuasa imigresen bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan.

Rassali dalam wawancara itu berkata, pihaknya tidak lagi berhajat mengajukan permohonan kepada agensi kerajaan kerana sejak lebih 30 tahun menjadi nelayan, permohonan melalui agensi kerajaan yang dilakukannya tidak pernah diberikan perhatian.

“Kalau saya diarahkan membuat permohonan kepada agensi kerajaan seperti LKIM dan sebagainya, maaflah, saya sudah serik. Tetapi kalau ada individu yang ingin membantu, saya alu-alukan.

"Sebab, permohonan melalui agensi kerajaan sudah puas saya hantar. Mereka kata 'kita akan teliti'. Tetapi sudah 30 tahun, apa yang mereka teliti? Sampai sekarang bayang pun tidak nampak,” katanya.


Tiada ulasan: