KUALA LUMPUR,  Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PRK) mendakwa penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah mendedahkan betapa Umno “terdesak” untuk memadamkan perbezaan pendapat dan menyekat kelantangan bersuara mereka yang berani mempersoalkan kepimpinannya.


Fahmi Fadzil berkata, `kuasa dalaman parti’ kelihatan sanggup melakukan apa sahaja untuk menyekat Mukhriz, terutamanya berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu RM 2.6 bilion.

Beliau menambah bahawa Mukhriz adalah mangsa terbaru parti, sama seperti bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, serta yang lain.

“Penyingkiran Mukhriz adalah permainan kuasa Machiavelli semata-mata yang dilakukan tanpa sebarang rasa tanggungjawab kepada kesejahteraan rakyat, dan tanpa sebarang alasan munasabah diberikan kepada umum tentang bagaimana kepimpinan Mukhriz yang dikatakan sebagai tidak bagus untuk rakyat Kedah

“Rakyat Kedah, yang menyokong sepenuhnya kepimpinan Mukhriz, akan mengingati hari ini dan akan melakukan apa yang sepatutnya apabila sampai masanya,” katanya kepada The Rakyat Post ketika dihubungi, hari ini.

Kemelut politik Kedah berakhir hari ini selepas Mukhriz mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Besar berkuatkuasa serta-merta.

Mukhriz berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Mukhriz mendakwa, tindakan itu berkaitan kenyataannya yang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai isu 1MDB dan derma politik RM2.6 billion selain peningkatan kos sara hidup rakyat.

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang diramal menggantikan Mukhriz dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-12 esok, selepas Jemaah Pemangku Sultan Kedah memberikan perkenan terhadap lantikannya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Selangor, Muhammad Fauzi Hashim dalam menyatakan rasa hormat terhadap keputusan Mukhriz untuk meletak jawatan, bagaimanapun, meminta bekas Menteri Besar Kedah itu menjelaskan sebab utamanya berbuat demikian.

“Perlu diingat jawatan Menteri Besar ini bukanlah jawatan biasa seperti ketua kampung. Ia melibatkan pemerintahan sebuah negeri dan Mukhriz wajib perjelas kepada rakyat khususnya rakyat negeri Kedah sebab utama beliau membuat keputusan sebegini rupa,” katanya.

Malah, Muhammad Fauzi turut menyoal tindakan Mukhriz samada kerana mendapat tekanan daripada Najib.

“Rakyat mahukan penjelasan. Wajar atau tidak keputusan itu bergantung kepada penjelasan yang akan diberikan dan kita semua sedang menunggu,” katanya.