Selasa, 2 Februari 2016

Mukhriz harap pengganti tumpu kepada 'Hijau Kuning'

Mukhriz harap pengganti tumpu kepada 'Hijau Kuning'
Mukhriz disambut ribuan penyokong di perkarangan Stadium Darul Aman, malam tadi. - Foto Sinar Harian
 
 
WALAU apa yang berlaku selepas ini diharapkan pemimpin yang akan mengambil alih perlu memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak yang dilihat berjaya menyatu padukan rakyat negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tidak ada cara lain yang lebih baik daripada cara berkenaan untuk kita melihat rakyat negeri ini bersatu.

"Walaupun di negeri ini ada bermacam-macam fahaman dan perbezaan ideologi politik namun kita boleh duduk sekali dan memberi sorakan kepada pasukan Hijau Kuning.

"Pasukan kita juga sebelum ini sudah hampir sampai ke puncak liga dan kita perlu memperkuatkan lagi pasukan kita," katanya ketika berucap dalam perlawanan persahabatan diantara pasukan Kedah dengan Sungai Ara FC di Stadium Darul Aman di Alor Setar, malam tadi.

Mukhriz yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata, beliau bersama dengan Exco Belia dan Sukan, Datuk Amiruddin Omar telah berusaha dan memberi tumpuan sepenuhnya dalam pembangunan bola sepak di negeri ini sebelum ini.

Menurutnya, pelbagai idea dan rancangan yang dilakukan sebelum ini telah membuahkan hasih sehingga menjadikan pasukan Kedah berada pada tahap sekarang.

Sementara itu ketika mengulas mengenai konflik politik Kedah, Mukhriz berkata, beliau juga tidak pasti apa kesudahan yang akan berlaku.

Beliau berkata, apa pun kesudahan biarlah negeri ini  dipimpin oleh pemimpin yang berintegriti tinggi dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kehendak rakyat di negeri ini.


Tiada ulasan: