Rabu, 3 Februari 2016

Mukhriz akan dipecat daripada Umno ?

DETIK DAILY


Susulan peletakan jawatan sebagai menteri besar Kedah, kini terdapat spekulasi bahawa Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga akan dipecat daripada Umno.Meskipun perkara ini belum menjadi kenyataan - tetapi sekurang-kurangnya Mukhriz sudah mendapat simpati daripada portal Umno yang pro-Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Mykmu.net.

Kemas-kini terbaru di blog itu berkata mereka yang menyokong Mukhriz tidak boleh terlalu bimbang mengenai masa depannya jika beliau disingkirkan dari Umno.
Sebagai anak Tun Dr Mahathir Mohamad, kata penulis yang tidak dinamakan itu, Mukhriz tidak sepatutnya mensia-siakan ‘aura’ yang diperoleh kerana ‘berbinkan’ Mahathir kerana tidak mustahil beliau akan menjadi presiden Umno dan perdana menteri suatu hari nanti.

“Lihat saja apa yang berlaku terhadap bapanya dulu. Mahathir dipecat dari Umno dan naik ke pentas PAS untuk berpolitik.

“Namun bapa Najib, Tun Razak kutip beliau, ‘timang’ dan gilap kebijaksanaan beliau berpolitik sehingga berjaya mendaki ke puncak tertinggi pentas politik negara.

“Jadi, usahlah terlalu gundah-gulana. Jika ditakdirkan Allah, mungkin juga Mukhriz baka ditakdirkan menjadi perdana menteri PAS yang pertama dalam sejarah negara.

“Tiada siapa yang tahu dan dapat meramal masa depan dengan tepat, bukan?” petik artikel itu.
Tradisi Umno

Dan sekiranya Muhkriz dipecat, kata penulis, perlulah difahami bahawa proses itu adalah tindakan hukuman yang tradisinya diambil terhadap mereka yang melanggar disiplin dan amalan demokrasi yang diamalkan Umno.

Katanya, Umno adalah sebuah parti yang bagaikan sebuah keluarga yang sangat besar dan berpengaruh di negara ini.

Manakala Mukhriz pula adalah anggota ‘MT lantikan’ di dalam parti dan berpeluang untuk bermesyuarat bersama ‘ketua keluarga’.

“Najib pula merupakan seorang Presiden yang amat menghargai kritikan.

“Namun untuk mengkritik seorang ayah, maka lakukanlah di dalam rumah supaya perkara yang kusut itu dapat dirungkai tanpa menjejaskan reputasi keluarga yang dipandang tinggi orang kampung,” katanya lagi.

Selepas pergolakan politik Kedah selama hampir dua minggu, Mukhriz hari ini akur beliau telah kehilangan sokongan dan terpaksa melepaskan jawatannya sebagai menteri besar.

Beliau dilantik sebagai menteri besar selepas BN berjaya merampas semula Kedah daripada PAS pada pilihan raya umum yang lalu.

Bagi sebahagian besar pemerhati politik, Mukhriz adalah mangsa ‘perang’ berpanjangan di antara bapanya dengan Najib.

Walau bagaimanapun, Umno Kedah mendakwa ia bukan alasan penyingkiran itu tetapi dakwaan mereka Mukhriz gagal menyatukan parti dan tidak mempunyai strategi untuk membangunkan negeri itu.~Mkini

Tiada ulasan: