Rabu, 17 Februari 2016

Misteri kehilangan empat pemuda terjawab

Misteri kehilanagan empat pemuda terjawab
Keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan selepas terbabas ke dalam parit berkenaan. 
 

SKUDAI - Penemuan sebuah kereta jenis Honda Accord yang dijumpai terbalik di dalam parit di Kilometer 42 Jalan Mersing-Kota Tinggi, dekat sini merungkai misteri kehilangan empat pemuda yang dilaporkan gagal dihubungi keluarga mereka sejak seminggu lalu.

Kesemua mereka ditemui mati di dalam kenderaan berkenaan selepas dijumpai pekerja ladang kelapa sawit kira-kira jam 8.10 pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, kenderaan berkenaan yang dipercayai dinaiki keempat-empat mangsa disyaki terlibat dalam kemalangan sebelum terbabas ke dalam parit berkenaan.

"Kes disiasat mengikut kes orang hilang dan kita menolak sebarang unsur jenayah di dalam kejadian ini.
Kita juga masih meneruskan siasatan untuk mengenalpasti punca kemalangan.

"Kesemua mayat dibawa ke Hospital Mersing untuk siasatan lanjut dan keluarga mangsa akan membuat pengecaman bagi mengenalpasti identiti mayat," katanya.

Sebelum ini pihak polis menerima empat laporan di Balai Polis Seri Alam pada 11, 12, 15 dan 16 Februari berhubung kehilangan empat pemuda berkenaan yang sedang dalam perjalanan bercuti ke Terengganu.

Kesemua mereka dikatakan bertolak dari Bandar Seri Alam pada 10 Februari menaiki kereta jenis Honda Accord namun gagal dihubungi keluarga kira-kira dua jam selepas perjalanan.


Tiada ulasan: