Selasa, 2 Februari 2016

MIC tikam MIC, lain-lain tolong …

 
MIC, semakin hari semakin rumit, lebih-lebih lagi bila bekas presidennya, Palanivel tampil semula dengan jawatan lamanya, tanpa menyedari hakikat sebenar.


 
Palanivel-Subramaniam-mic


Setiap kali hati ini tergerak untuk menulis tentang parti politik kaum India di Malaysia khususnya Kongres India Malaysia (MIC) tiap kali itu saya menjadi buntu. Kerana walaupun berbangsa India dan mengikuti perkembangan politik negara, politik parti India adalah sesuatu yang sangat kompleks dan rumit bagi saya.

Ia seperti benang yang bersimpul-simpul dalam satu kotak besar. Kalau nak leraikan simpul itu, sama ada kita hilang sabar atau ia satu percubaan yang tidak logik. Semakin cuba dilerai, semakin kita sendiri ‘ter’simpulkannya. Benar?

Bagaimanapun, akhirnya saya dapat petik satu isu yang agak menarik dan perlu diberi perhatian serius. Ia sedang berlaku dalam kalangan parti India, berkaitan dengan acara Ponggal yang diadakan semalam oleh geng konco-konco bekas Presiden MIC, G. Palanivel.

Khabarnya, dalam jemputan media dan sepanjang majlis, Palanivel di’angkat’ sebagai Presiden MIC membelakangkan presiden sebenar, Datuk Seri S. Subramaniam.

Maka, wujudlah persengketaan perang mulut antara dua team ini.

Menariknya, team MIC (haram, kerana tidak diiktiraf ROS) Palanivel bukan berdiri solo dengan jumlah ahlinya yang segengam tangan. Tetapi kumpulan itu kini tampil dengan geng-geng baharu apabila dikatakan sudah bekerjasama dengan myPPP, Makkal Sakhti dan NGO, Gabungan Dewan Perniagaan Perindustrian India Malaysia (MAICCI).

Malah kenyataan Presiden parti myPPP (dahulunya Parti Progresif Rakyat-PPP) Tan Sri Kayveas menyatakan mereka tidak mengiktiraf Presiden MIC semasa, Datuk Seri S Subramaniam juga agak kelakar dan sukar dihadam.  Tetapi biarlah, itu pendapat beliau. Beliau lebih lama dalam arena politik.

Apapun, yang nyata lagi terang ialah, rupanya dalam komuniti India yang sekecil-kecil ini, tiada parti yang sebenar-benarnya bersatu. Semua ada geng masing-masing, tolak dan tarik sesama mereka, berubah ikut cita rasa dan kepentingan dan berjuang demi keperluan peribadi.

Soalnya, kalau asyik bergaduh, ber’geng-geng’ tanpa keserasian, macam mana nak jaga komuniti?

Patutlah pernah ada beberapa orang se’kaum saya di estet dulu minta saya tolong kenalkan kepada Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong untuk menyelesaikan masalah penempatan mereka.

Walaupun tak berpendidikan, tidak berpengetahuan luas, namun mereka lebih mengenali Michael Chong dari MCA. Malangnya juga ketika itu, setahu saya era Palanivel, tiada wakil MIC dalam Biro Pengaduan Awam yang sepatutnya menjadi biro ‘aset’ parti itu.

Maka, jelaslah masalah dalam kalangan ahli politik kaum India ini masalah yang wujud di peringkat akar umbi.

Memang tidak dinafikan, baru-baru ini MIC cuba bangkit semula dan memperkasa pasukan mereka dengan mengikut rapat komuniti India menerusi pelbagai program dan kempen. Tetapi insiden semalam nampaknya kembali menghuru-harakan keadaan. Palanivel yang dianggap sudah ‘disenyapkan’, rupanya timbul dengan dengan suara-suara yang lagi kuat dan lantang di belakang bahu beliau.

Maka bermulalah MIC yang Presidennya tak diiktiraf oleh Kayveas dan MIC yang tak diiktiraf Badan Pendaftar (ROS) saling bertikam, mengeluarkan kenyataan media.

Pastinya, akhbar-akhbar Tamil yang masing-masing dengan geng sendiri akan menggoreng isu ini semasak-masaknya.

Sekarang fikirkan kesannya, siapa yang rugi?

Kami (rakyat) tak rugi ye… Kami ada pembangkang yang akan jadi hero. Mujur pembangkang takde parti yang berpaksi kepada kaum India. Yang rugi adalah MIC itu sendiri. Siapa dalam MIC, anda yang kena tanggung risiko dan impak lebih-lebih lagi kita sedang menuju pilihanraya. So cepat-cepatlah settle isu ini.

Tiada ulasan: