Rabu, 3 Februari 2016

Mengalah bukan bererti patah, Mukhriz

 Oleh Abdul Rahman Malik

 
Post Pic
 
 
[ULASAN] Hakikatnya ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah ahli Umno. Atas budibicara kepimpinan Umno, khususnya Presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak, beliau dilantik untuk menjadi Ketua Badan Perhubungan Umno Kedah. 
 
Tugas itu adalah tanggungjawab politik. Beliau dituntut supaya sentiasa mengatur strategi terbaik demi memelihara dan meningkatkan persepsi rakyat dan maruah parti agar parti itu terus menjadi pilihan rakyat.
 
Kedudukan Ketua Perhubungan diisi menerusi lantikan presiden. Ini bermakna kuasa mutlak mengisi jawatan penting itu bergantung pada budi bicara presiden yang lazimnya diperakui oleh Majlis Tertinggi. 
 
Walaupun jawatan Ketua Badan Perhubungan Negeri ini diiringi kuasa yang agak luas dalam pentadbiran dan perjalanan parti di sesebuah negeri, ia adalah satu kedudukan yang bukan dipilih ahli-ahli parti.
 
Ahli-ahli parti, khususnya pimpinan peringkat Bahagian Umno perlu akur pada kebijaksanaan dan kepemimpinan Ketua Badan Perhubungan. Sekaligus ini melambangkan keyakinan terhadap mutu kepimpinan pucuk pimpinan parti. 
 
Mukhriz juga ADUN Kedah bagi kawasan Air Hitam. Sebagai mewakili partinya yang diberi mandat oleh rakyat Kedah dalam pilihan
raya umum tiga tahun lalu, beliau juga diberi kepercayaan untuk mengisi kerusi Menteri Besar. 
 
Pelantikan begini adalah lumrah dalam politik Malaysia. Seseorang pemimpin yang mendapat kepercayaan partinya untuk mengetuai organ politik tertinggi parti di sesebuah negeri juga diberi kepercayaan untuk mentadbir negeri. 
 
Namun pengecualian pernah berlaku. Pada pilihan raya umum 2008, PKR, DAP dan PAS memenangi majoriti DUN Selangor dan ketiga-tiga parti bersetuju mengangkat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar.
 
Namun PKR cuba merintis tradisi baru yang menyaksikan Naib Presiden parti berkenaan ketika itu, Azmin Ali diangkat menjadi Ketua Perhubungan atau Ketua Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor. 
 
Ternyata kejanggalan dan keganjilan langkah politik PKR itu membawa padah. Azmin ada senarai keutamaannya dalam menguruskan keperluan dan hal ehwal politik Selangor. 
 
Sementara Khalid pula yang berazam menterjemahkan pengalaman korporatnya menjadi ideologi pentadbiran negeri. Pemikiran dan perkiraan korporat tidak sentiasa serasi dengan fiqh aulawiyat politik. 
 
Khalid berpedomankan hukum untung rugi dalam pengurusan agensi dan syarikat kerajaan negeri. Keutamaannya ialah menokok seberapa banyak wang dalam rizab kerajaan negeri. 
 
Sementara Azmin pula sentiasa mencongak keuntungan mestilah dalam bentuk dividen politik atau persepsi baik terhadap parti. Untuk tujuan itu pengorbanan dana yang besar dan konsisten diperlukan. Maka berberantakanlah mereka. 
 
Bagaimanapun dalam kes Kedah, Mukhriz diberikan lesen besar mentadbir kerajaan seraya memelihara kepentingan Umno. Unsur yang membantunya ialah faktor usia muda dan barangkali aura bapanya, Tun Mahathir Mohamad.
 
Namun ketrampilan Mukhriz tidaklah sehebat Tun Mahathir. Majoriti pimpinan Umno Kedah cemas mendapati mutu kepimpinannya rendah. Mereka merumuskan ini akan menjejaskan prestasi Umno dalam pilihan raya umum ke-14.
 
Maka pada 20 Januari lalu mereka bersetuju memohon presiden Umno yang juga perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menggantikan Mukhriz dengan mana-mana ADUN Umno Kedah yang difikirkan lebih layak. 
 
Pada awalnya Mukhriz enggan meletak jawatan. Hampir dua minggu Kedah dijerut ketidakpastian politik. 
 
Ini mendesak supaya Jemaah Pemangku Sultan Kedah bersidang dua hari untuk menyelami sokongan yang diberikan oleh 35 ADUN negeri itu dari kalangan Umno, PAS, PKR, DAP dan PAN.
 
Mungkin ada pihak yang suka menggunakan perangkaan untuk menyelesaikan isu berkenaan. Namun demi memelihara kesejahteraan rakyat, Jemaah Pemangku Sultan menimbangkan formula yang lebih berhemah. 
 
Oleh kerana Mukhriz adalah ahli Umno, tidak mungkin beliau boleh menjadi seorang ketua pentadbir Kedah yang berkesan tanpa sokongan partinya. Kini partinya tidak menyokong cara kepimpinannya.
 
Sungguhpun di segi matematiknya Mukhriz dikatakan mendapat sokongan 15 ADUN pembangkang dan lima ADUN Umno, namun beliau sebenarnya sudah bergeser jika tidak melanggar tradisi kepimpinan dan politik parti. 
 
Umum tahu bahawa sokongan ADUN pembangkang pada Mukhriz hanya helah politik. Jika Mukhriz bergantung kepada pembangkang untuk mempertahankan kerusi Menteri Besar, beliau tidak mungkin mampu merealisasikan wawasan Umno-BN dalam pentabirannya. 
 
Dalam urusan harian, Mukhriz perlu berhadapan dengan ahli-ahli Majlis Kerajaan dari Umno. Mana mungkin beliau melantik ahli-ahli dari kalangan ADUN Pembangkang untuk bersama beliau memimpin kerajaan negeri? 
 
Natijahnya pengurusan kerajaan akan terabai dan kepentingan rakyat terjejas. Justeru Jemaah Pemangku Sultan Kedah memutuskan Mukhriz kini hilang sokongan daripada partinya sendiri.
 
Mukhriz memahami kedudukan ini dan prinsip politik partinya sendiri. Pada Rabu, 3 Februari, beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah. 
 
Justeru mulai Khamis 4 Februari 2016 Jemaah Pemangku Sultan merestui ADUN Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Basha Md Hanipah untuk menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar. 
 
Mukhriz masih muda dan mempunyai banyak masa untuk mempertajam mutu kepimpinannya. Bapanya sendiri pernah dua kali gugur keahlian Umnonya sepanjang kerja politiknya. Mengalah bukan bererti patah.

Tiada ulasan: