Jumaat, 12 Februari 2016

MAT OH MAT, CERDIKLAH SIKIT MAT...

shahbudindotcom

 

 
 
 
Baru sebentar tadi, Ahmad Maslan menulis di Twitternya memaklumkan bahawa beliau hari ini pergi ke menunaikan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan adalah dengan berjalan kaki daripada pejabatnya di Menara Miti.

Sambil memuatnaik empat keping gambarnya sedang berjalan kaki itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga berkata, ia adalah suatu riadah yang baik untuknya.

Mat oh Mat, apa dah jadi ni Mat? Kenapa sampai begitu sekali mahu menonjolkan diri?

Walaupun menyebut berjalan kakinya pergi dan balik menunaikan solat itu adalah riadah yang baik, tetapi bukankah hal-hal berkaitan ibadah dengan Tuhan ini tidak perlu ditunjuk-tunjuk dan diberitahu kepada orang lain?

Berjalan kaki atau merangkak sekali pun, biarlah ianya hanya urusan antara kita dengan Tuhan. 

Kenapa perlu diheboh-hebohkan, kalau bukan untuk menunjuk-nunjuk? 

Lagi pula, tidakkah menunjuk-nunjuk boleh mengurangkan pahala?

Jika orang lain mengambil gambarnya dan kemudian memasukkannya dalam mana-mana laman atau rangkaian sosial, ia mungkin tidak menghairankan, namun kenapa sampai beliau sendiri memberitahunya kepada umum?

Tidakkah ini dilihat memang sengaja mahu menunjuk-nunjuk?

Dalam pada itu, bukankah beliau sekarang ialah Pengerusi Biro IT UMNO yang menjaga tentera-tentera siber yang beribu-ribu orang ramainya?

Mengapa tidak diminta seorang dua daripada mereka yang boleh mengambil gambarnya dan kemudian menghebahkannya kepada umum, jika pun beliau ingin sangat memberitahu kepada umum tentang kesanggupannya berjalan kaki ke masjid itu?

Kalau orang lain melakukannya, nampaklah ia "natural", walaupun mungkin ia juga memang dibuat secara sengaja dan dirancang.

Tetapi dengan secara sengaja, mungkin pegawainya sendiri mengambil beberapa keping gambarnya sedang berjalan kaki dan kemudian menghebahkan melalui Twitter miliknya, langsung tidak terlihat "kenaturalannya", bahkan sesiapa pun akan mengatakannya memang dirancang sejak awal lagi.

Cerdiklah sikit Mat,  takkanlah pointer 3.85 tak mampu berfikir lebih daripada itu?


Tiada ulasan: