Ahad, 7 Februari 2016

Masalah kepala kecil bukan angkara imunisasi – KKM

 
Orang ramai digesa mendapatkan maklumat perubatan dan kesihatan daripada sumber sahih


microcephaly


PETALING JAYA: Dakwaan masalah kepala kecil (microcephaly) yang berlaku di Brazil berpunca daripada program imunisasi seperti vaksin tetanus, difteria dan batuk kokol (TDAP) adalah salah dari segi fakta.

BERNAMA melaporkan Kementerian Kesihatan memandang berat dakwaan yang dibuat di media sosial itu kerana ia boleh mengelirukan masyarakat yang sudah sedia bimbang dengan ancaman virus Zika.

“Penulis tersebut membuat gesaan supaya ibu-ibu mengandung tidak mengambil pelalian atau imunisasi,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, yang mengingatkan sebahagian kes kanak-kanak yang mengalami penyakit berjangkit seperti campak, batuk kokol dan difteria yang menyebabkan kematian adalah dalam kalangan yang tidak mendapat imunisasi pada umur yang disarankan.

Beliau menambah penciptaan vaksin merupakan perkembangan teknologi yang telah berjaya menurunkan bilangan kes dan kematian akibat penyakit cegahan vaksin, seperti cacar dan polio.

“Menjadi amalan semua negara termasuk Malaysia, sekiranya didapati mana-mana vaksin menyebabkan kemudaratan kepada manusia, ia akan ditarik balik dari pasaran.”

Menjelaskan dakwaan yang tersebar di media sosial, Dr Noor Hisham berkata gardasil (untuk pelalian human papillomavirus atau HPV) tidak diberi kepada ibu mengandung di mana-mana negara.

“Manakala TDAP telah mula digunakan di negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom sejak 2012 lagi untuk menangani epidemik batuk kokol (pertussis) dalam kalangan bayi baru lahir dan tidak pula dikaitkan dengan “microcephaly” di negara-negara berkenaan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat, khususnya berkaitan perubatan dan kesihatan, daripada sumber-sumber yang sahih.

Tiada ulasan: