Selasa, 2 Februari 2016

Lagi bidas Ali Rustam supaya tak ‘pukul curi’

MALAYSIAKINI




Bekas Ahli Panel Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Robert Phang menegur bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam kerana ‘memukul curi’ pegawai kanan agensi anti rasuah itu.

Teguran Phang adalah sebagai reaksi kepada kenyataan Mohd Ali yang berkata tindakan tatatertib perlu diambil terhadap mana-mana pegawai SPRM yang dilihat cuba menjatuhkan imej pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, sebagai bekas ketua menteri dan sekarang sebagai seorang senator, pemimpin Umno itu membuat kenyataan terbuka membidas pegawai SPRM.

"Sebaliknya, (beliau) perlu berinteraksi secara senyap-senyap dengan pihak berkuasa SPRM [...] apa yang diperkatakannya itu benar-benar, secara terang-terangan dan jelas memukul curi ke atas pegawai," kata Phang dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menggesa Mohd Ali berhenti membuat tuduhan tidak berasas ke atas SPRM, terutama kerana beliau tidak tahu bagaimana tangan mereka terikat dan bahawa mereka tidak boleh bertindak balas.

"Malu kamu, Mohd Ali Rustam. Bersikap sebagai lelaki budiman dan memohon maaf kepada SPRM.

"Dan sebagai peringatan - serahkan kepada pihak berkuasa yang profesional untuk menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka dengan telus," kata Phang.

Mohd Ali dilaporkan menuduh Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin yang didakwanya mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan masyarakat dan memburuk-burukkan imej perdana menteri.

Beliau sebelum ini dilaporkan mahu merayu keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang membebaskan Najib darripada sebarang salah laku berhubung siasatan kes derma RM2.6 bilion dan SRC International.

Susulan itu, Bahri diserang oleh bloger pro-Umno termasuk gertakan terhadap keluarganya dan terpaksa membuat laporan polis.

Tiada ulasan: