Rabu, 3 Februari 2016

Khairuddin pula fail usul mahkamah terhadap AG

MALAYSIAKINI




Ahli Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini memfailkan usul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dengan alasan bahawa pelantikannya adalah tidak sah.

Semalam bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman berhubung keputusan Apandi untuk menutup dua kes yang membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, minggu ini.

Dalam usulnya, Khairuddin berkata cara bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dilucutkan adalah menyalahi undang-undang kerana melanggar Perkara 156 (6) Perlembagaan Persekutuan.

"Memandangkan bahawa penyingkiran Gani adalah menyalahi undang-undang, pelantikan Apandi sebagai peguam negara tidak boleh dianggap sah," katanya dalam usul itu.

Bekas Timbalan Ketua Umno bahagian Batu Kawan itu juga memohon untuk mengketepikan segala tuduhan terhadapnya.

Khairuddin didakwa mensabotaj ekonomi selepas beliau membuat beberapa siri laporan terhadap 1MDB dengan pelbagai agensi penguatkuasaan asing.

Tiada ulasan: