Khamis, 25 Februari 2016

Kebanyakan ahli PAC di luar negara: Adakah Hasan berbohong?

MALAYSIAKINI




Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mahu tahu sama ada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin dengan sengaja menipu apabila beliau berkata "kebanyakan anggota PAC berada di luar negara" sedangkan katanya, majoriti mereka di negara ini.

Dalam satu kenyataan media, Lim berkata PAC mempunyai kuorum yang selesa dengan kehadiran sebahagian besar mereka di negara ketika ini.

Lim juga menyoal Hasan sama ada beliau sendiri secara tergesa-gesa ke luar negara pada Selasa lalu supaya alasannya "kebanyakan anggota PAC berada di luar negara" mempunyai untuk mewajarkan pembatalan saat akhir mesyuarat PAC semalam dan hari ini.

Beliau juga menggesa Hassan untuk mendedahkan di mana beliau berada di luar negara, dan apa yang dilakukannya di sana ketika PAC dijadual mengadakan mesyuaratnya untuk membuat kesimpulan berhubung siasatan PAC ke atas skandal 1MDB.

"Hasan perlu sedar bahawa jika beliau seorang askar, beliau akan dihadapkan ke mahkamah tentera dan dijatuhkan hukuman yang berat kerana meninggalkan kubu dan tugasnya pada saat paling penting dan kritikal."

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mendakwa beliau mempunyai alasan kukuh untuk mempercayai bahawa Hasan tidak bercakap benar apabila beliau berkata bahawa "kebanyakan anggota PAC berada di luar negara".

"Apakah tidak benar bahawa hanya dua anggota PAC berada di luar negara untuk menunaikan umrah - Ahmad Hamzah (Jasin) dan Nawawi Ahmad (Langkawi)?” soalnya.

Tiada ulasan: