Isnin, 15 Februari 2016

'Kalau jumpa malaikat baru, tolaklah kami'

Alyaa Alhadjri

 


Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa berkata pihak yang tidak lagi suka kepada Umno boleh mengundi menolak parti itu.

“Kalau tidak suka MARA, pindalah Perlembagaan Persekutuan. Tetapi kami (Umno) akan pertahankannya.

“Kalau kamu jumpa malaikat baru dan Umno pula (dirasakan) jadi setan, undilah tolak kami,” katanya kepada kira-kira 200 pelajar dalam acara penganugerahan surat penerimaan untuk pemohon-pemohon pinjaman MARA.

Menegaskan Umno juga tidak lepas daripada salah dan kurang, Annuar berkata terdapat perbezaan antara pihak yang hanya mengkritik dan yang dilantik berkhidmat kepada rakyat.

Beliau juga menyindir, antara perkara-perkara paling menyeronokkan dalam dunia adalah makan percuma dan tidak membayar balik pinjaman.

Katanya, sebelum itu MARA sudah membelanjakan RM2 bilion setiap tahun untuk tajaan pendidikan tanpa menghebohkan-hebohkannya.

Bagaimanapun, kali ini sedikit pengubahsuaian perlu dibuat, kata ketua penerangan baru Umno itu.

Beliau menyelar penyebaran berita-berita secara meluas di Internet yang mendakwa MARA mengabaikan tanggungjawabnya membantu pelajar bumiputera.

Tiada ulasan: