Isnin, 15 Februari 2016

Izzah: Selesaikan dulu 5.8 juta pekerja asing

MALAYSIAKINI




Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar meminta kerajaan menyelesaikan dahulu isu lambakan pekerja asing sebelum membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini.

Menurut Izzah kerajaan sepatutnya menetapkan had ke atas guna tenaga kerja asing seperti sektor perkhidmatan dan pembuatan yang tidak begitu memerlukan khidmat mereka.

Manakala bagi sektor pembinaan, katanya, peratusan penggunaan tenaga kerja asing yang diperlukan cuma 30 peratus dan perladangan pula sebanyak 50 peratus.

"Saranan saya adalah kemasukan lebih ramai pekerja asing tidak perlu disegerakan.

"Selesaikan dahulu isu kehadiran 5.8 juta pekerja asing di mana 2.135 juta (masuk) secara sah dan 3.7 juta tanpa izin," katanya dalam satu kenyataan media.

Naib Presiden PKR itu berkata, keputusan membawa masuk pekerja Bangladesh bercanggah dengan agenda ekonomi dalam RMK-11 iaitu bagi mewujudkan 1.5 juta pekerjaan menjelang 2020.

Agenda itu antara lain mensasarkan penambahbaikan dalam produktiviti buruh dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

"Dasar penggunaan pekerja asing mengurangkan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan yang rata-ratanya 70 peratus berpendidikan SPM ke bawah.

"Akibatnya, gaji terus mengecil dan gagal berkembang," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan meningkatkan levi pekerja asing kepada RM5,000 dan menetapkan had perkhidmatan mereka dalam pelbagai industri.

"Pastikan levi dibayar oleh syarikat dan majikan yang menggaji pekerja asing bukan seperti praktis sedia ada di mana pembayaran dilunaskan oleh pekerja bukannya majikan," tegasnya.

Kerajaan baru-baru ini mempertahankan tindakannya membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia dalam tempoh tiga tahun.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, kemasukan pekerja itu dibuat secara berperingkat berdasarkan permintaan pasaran.


Tiada ulasan: