Ahad, 14 Februari 2016

IMAM PUN ADA DISALAHKAN, BAGAIMANA ZAHID BOLEH KATA "JANGAN SALAHKAN SAYA"

shahbudindotcom


 
 
 
Agak menjengkelkan apabila Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau dan kerajaan tidak harus disalahkan berhubung rancangan membawa masuk 1.5 juta pekerja daripada Bangladesh untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Habis, kalau bukan menteri yang membuat keputusan dan kerajaan yang memerintah yang harus disalahkan, siapa lagi?

Adakah Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim yang harus diletakkan kesalahan itu?

Dalam hal ini Zahid seharusnya sedar bahawa menteri dan kerajaan bukannya "maksum"  sehingga semua perkara yang diputuskan seolah-olah betul belaka, malah imam surau pun akan ditegur dan dipersalahkan kalau bacaannya meragukan atau suaranya tidak berapa jelas kedengaran.

Jadi, apa masalahnya kalau ada teguran atau meletakkan kesalahan kepada beliau dan kerajaan berhubung kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh itu?

Terimalah hakikat bahawa kemasukan itu terlalu melampau dan hanya menimbulkan persepi semata-mata untuk memberi pendapatan kepada kerajaan melalui kutipan levi dan keuntungan berganda kepada syarikat yang diberi lesen membawa masuk pekerja terbabit.

Harus disedari bahawa kita bukan saja berhadapan dengan lambakan warga asing daripada Bangladesh, tetapi juga daripada Indonesia, China, Myanmar, Filipina, Nepal, Afrika dan sebagainya.

Itu pun sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Zahid bagaikan masih tiada perasaan apa-apa berkata, " jangan salahkan saya, jangan salahkan kerajaan".

Akuilah, ia memang salah menteri dan kerajaan yang sedang berkuasa, bukan salah sesiapa yang lain.
 
 
 

Tiada ulasan: