Isnin, 15 Februari 2016

IGP digesa siasat pihak di sebalik video Sirul

MALAYSIAKINI




Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar digesa menyiasat pihak di sebalik rakaman video tertuduh dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, Sirul Azhar Umar yang disiarkan media.

Mengulas video yang dilaporkan Malaysiakini sejak beberapa minggu lalu, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata pendedahan bekas anggota polis yang berdepan hukuman gantung itu telah meninggalkan soalan yang belum dijawab.

Walaupun Sirul dilaporkan berkata beliau merancang untuk mendedahkan cubaan mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembunuhan itu, Lim berkata bekas pegawai polis itu perlu menjawab soalan mengenai identiti pihak yang memberikannya arahan.

"Saya juga ingin menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan tangkapan ke atas mereka yang berpakat dengan Sirul dalam menghasilkan video-video “pengakuan” itu untuk menyiasat siapa arah bunuh Altantuya.

"Sebelum Sirul dan rakan subahatnya yang menyimpan rakaman pengakuan Sirul itu mendedahkan video terbabit, seharusnya Sirul terlebih dahulu menjawab lima persoalan yang melibatkan kepentingan awam," katanya pada kenyataan media.

Persoalan tersebut, katanya adalah:

1. Siapa yang mengeluarkan arahan pembunuhan Altantuya?

2. Apakah imbalan atau upah yang dijanjikan untuknya selepas Altantuya dibunuh?

3. Siapa yang memberi kebenaran untuk menggunakan letupan C4?

4. Siapa yang mengatur laluan keluar Sirul ke Austalia tanpa memaklumkan pihak berkuasa?

5. Berapa banyak arahan bunuh yang telah Sirul laksanakan, dan siapakah mangsa-mangsanya?

Sirul dan rakannya, Ketua Inspektor Azilah Hadri dihukum gantung sampai mati tahun lalu oleh Mahkamah Persekutuan selepas didapati bersalah membunuh Altantuya dalam satu perbicaraan panjang.

Kedua-duanya didakwa membunuh Altantuya di sebuah hutan di Shah Alam antara 10 malam dan 1 pagi pada 18 dan 19 Julai 2006. Tertuduh ketiga dalam kes itu merupakan penganalisa politik, Abdul Razak Baginda yang juga rakan baik kepada Najib.

Abdul Razak dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 dan pendakwa memilih untuk tidak merayu pembebasan beliau.

Sirul berjaya melepaskan diri ke Australia selepas pembebasan awal oleh Mahkamah Rayuan dan kini ditahan di pusat tahanan imigresen Villawood di Sydney.

Azilah kini berada di Penjara Kajang menunggu hukuman mati dan telah memfailkan pengampunan.


Tiada ulasan: