Selasa, 2 Februari 2016

‘Harimau Malaysia’ gelaran baharu pasukan kebangsaan

 
Harimau Malaya yang diguna sebelum ini sudah tidak sesuai kerana perkataan Malaya itu sendiri tidak lagi diguna pakai.


Tengku-Abdullah-Sultan-Haji-Ahmad-Shah-,harimau-malaysia


PETALING JAYA : Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menukar nama gelaran pasukan bola sepak kebangsaan kepada ‘Harimau Malaysia’ berkuat kuasa serta merta.

Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah dalam satu kenyataan berkata, gelaran Harimau Malaya yang digunakan sebelum ini sudah tidak sesuai memandangkan perkataan Malaya itu sendiri tidak lagi diguna pakai secara menyeluruh di negara ini sejak pembentukan Malaysia pada 1963.

Beliau turut berharap pengenalan nama gelaran rasmi baharu itu dapat memberi gambaran jelas bahawa skuad kebangsaan atau selepas ini dikenali sebagai skuad Harimau Malaysia adalah milik seluruh rakyat Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Bagi melancarkan era baharu bola sepak Malaysia mulai 2016 ini, FAM berasakan nama gelaran Harimau Malaya yang sering kali diguna pakai sebelum ini sudah tidak lagi sesuai.

“Ini memandangkan perkataan Malaya itu sendiri tidak lagi diguna pakai secara menyeluruh di negara ini sejak pembentukan Malaysia pada 1963, iaitu kira-kira 53 tahun yang lalu.

“Justeru itu, FAM pada hari ini dengan secara rasmi mengumumkan untuk mengguna pakai nama Harimau Malaysia sebagai nama gelaran baharu untuk skuad kebangsaan,” katanya pada Majlis Pengenalan Penaja & Pengumuman Nama Gelaran Baharu Skuad Kebangsaan di Hotel The Royal Chulan, di sini, hari ini.

Empat penaja rasmi yang terus memberi sokongan dan komitmen bersama skuad kebangsaan untuk 2016 ini iaitu Telekom Malaysia (TM), Bank Islam, Nike dan 100PLUS.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah berkata, semua pihak yang terlibat dalam bola sepak negara menerima secara positif perlantikan Datuk Ong Kim Swee dan Frank Bernhardt sebagai Ketua Jurulatih kebangsaan dan Ketua Jurulatih Kebangsaan bawah 22.

Tahun lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pernah menyuarakan saranan supaya nama gelaran Harimau Malaysia diguna pakai untuk merujuk kepada skuad kebangsaan berbanding Harimau Malaya yang seolah-olah seperti penyokong dari Sabah dan Sarawak tidak terlibat langsung.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Baru kau tahu, kalau tiada Sarawak dan Sabah apa itu Melaya.

Unknown berkata...

Baru kau tahu, kalau tiada Sarawak dan Sabah apa itu Melaya.