Selasa, 2 Februari 2016

Hari Wilayah: Cabaran tangani kesesakan ibu kota

 
Kementerian Wilayah Persekutuan harus menangani masalah kesesakan di ibu negara dengan lebih efisien
 
 
 
macet


Ketika hendak pergi ke pejabat pagi tadi, penulis mendapati jalan menuju ke ibu kota dari bandar Kajang lengang tidak seperti hari biasa.

Keadaan seperti itu hanya boleh dilihat jika adanya cuti umum membabitkan perayaan-perayaan tertentu yang digazetkan di dalam kalendar. Di dalam perjalanan, terdetik juga di dalam hati bertanyakan cuti apakah yang disambut oleh warga Kuala Lumpur yang penulis terlepas pandang.

Bagaimanapun, sejurus masuk ke Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Shah Alam, penulis yang mahu menuju ke arah Petaling Jaya mendapati keadaan jalan sesak seperti kebiasaan.

Barulah penulis sedar bahawa hari ini 1 Februari merupakan cuti umum yang disambut setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

Mengulas mengenai perkara itu, penulis ingin mengajak pembaca merenung situasi yang dihadapi oleh warga kota yang menjadi rutin harian apabila terpaksa berdepan dengan situsi kesesakan setiap hari.

Meskipun sudah hampir 12 tahun Hari Wilayah ini disambut oleh penduduk di tiga wilayah ini namun, penulis rasa tidak banyak perubahan yang berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terutamanya dari aspek pengurusan lalu lintas yang dilihat belum begitu efisien.

Masalah kesesakan jalan raya terutama pada waktu puncak menjadi satu perkara yang sehingga kini tidak dapat ditangani oleh kerajaan meskipun ia sering kali melaksanakan projek-projek membina lebuh raya atau menaik taraf jalan-jalan baharu untuk keselesaan pengguna.

Pertambahan kenderaan di atas jalan raya hampir setiap hari menjadi penyebab isu kesesakan timbul di ibu negara hingga kadang-kadang membawa tekanan kepada warga bandar. Apa tidaknya, bagi mereka yang terpaksa masuk kerja pada waktu pagi, masa yang diperuntukan buat mereka setiap hari tentulah lebih awal kerana mereka mahu memastikan tidak terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Walaupun ia merupakan isu lama, akan tetapi masalah kesesakan yang berlaku ini masih gagal diselesaikan dengan sempurna.

Mengupas isu ini, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan yang dipetik menerusi temubual dengan Utusan Malaysia berkata, dalam memastikan masalah itu bukan halangan untuk warga kota bergerak pihaknya megambil langkah membuat jadual berkala degan waktu khusus kepada kenderaan berat dan kerja-kerja penyelengaraan.

Pihak kementerian juga katanya, telah mengenal pasti 44 sekolah di jalan-jalan utama di pusat bandar yang menjadi penyebab kesesakan.

Katanya, penyelesaian yang diambil bagi menangani masalah itu adalah dengan menyediakan tempat menunggu yang lebih sesuai untuk kemudahan para pelajar pulang dari sekolah.

Dalam hal ini, langkah yang dilakukan oleh kementerian berkenaan ada logiknya kerana jalan penyelesaian diambil sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan masalah yang dihadapi.

Justeru, penulis berpendapat, Kementerian Wilayah Persekutuan tidak boleh selesa dengan langkah yang diambil dan mereka perlu memikirkan langkah-langkah lain agar matlamat menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandaraya yang bergerak lancar dan berdaya saing dapat tercapai.

Sejajar dengan perkara-perkara lain yang hendak dilaksanakan seiring dengan kemajuan yang ada, masalah kesesakan jalan raya ini perlu diberikan tumpuan kerana ia turut berkait rapat dengan isu pengguna.

Tiada ulasan: