Selasa, 2 Februari 2016

Hak Apandi mengarah SPRM tutup kes RM2.6 bil dipersoal

 
Menurut Bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Apandi tidak layak menjalankan siasatan terhadap kes RM2.6 bilion dan SRC International, apatah lagi untuk membuat keputusan sendiri.


khairudin-apandi-ali


PUTRAJAYA: Hak Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menutup kes RM2.6 bilion dan SRC International yang melibatkan Perdana Menteri dipersoal.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan tampil dengan soalan itu selepas meragui kemungkinan wujud unsur rasuah pembebasan Najib daripada apa-apa kesalahan dalam dua kes tersebut.

“Saya ingin tanya Peguam Negara, siapa beliau untuk memberi arahan kepada SPRM agar menutup kes melibatkan Najib? Siapakah beliau untuk campur tangan dalam urusan SPRM?

“Saya akan membuat laporan kepada SPRM berhubung perkara ini, seperti mana saya membuat laporan polis di balai Polis Dang Wangi minggu lalu.

“Saya juga membuat laporan kepada SPRM berhubung kemungkinan wujud unsur rasuah dalam keputusan Apandi yang membebaskan Najib daripada apa-apa kesalahan dalam dua kes tersebut,” katanya dalam sidang media di hadapan Bangunan SPRM pagi tadi.

Bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan itu juga berkata Apandi tidak layak menjalankan siasatan, apatah lagi membuat keputusan, terhadap dua kes itu.

Ini kerana namanya diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Perdana Menteri sendiri untuk menggantikan Tan Sri Gani Patail “yang dipecat tanpa asas yang kukuh”.

“Ini bermakna wujud konflik kepentingan. Maka saya menggesa SPRM menjalankan siasatan, sama ada wujud rasuah melibatkan Apandi agar beliau membersihkan nama Najib,” katanya lagi.

Katanya lagi, Apandi sepatutnya meminta timbalannya iaitu Peguam Cara Negara untuk mengetuai siasatan, atau sekurang-kurangnya menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas yang dianggotai bekas hakim.

“Ini dapat mengelakkan konflik kepentingan. Tetapi beliau sendiri yang menyiasat dan membuat keputusan. Sebab itu saya yakin hampir semua rakyat Malaysia tidak percaya dengan apa-apa kenyataan yang dibuatnya,” katanya lagi.

Tiada ulasan: