Selasa, 2 Februari 2016

Dr Asri digesa patuh arahan larangan berceramah di Johor

 
Ia disebabkan undang-undang agama negeri Johor tidak sama seperti negeri lain.


asri-maij


PETALING JAYA: 16 penceramah bebas yang dihalang memberi ceramah dan kuliah agama di Johor digesa supaya mematuhi syor yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, Johor mempunyai ramai penceramah berbakat yang boleh menyampaikan ceramah dan kuliah agama.

Selain itu, Mutalip menyatakan undang-undang agama negeri Johor tidak sama seperti negeri lain.

“Kalau ada arahan macam itu, kalau dah ada (notis larangan) tidak apalah, hendak buat macam mana.
Johor cara Johor, tidak sama macam negeri lain. Johor juga banyak penceramah yang boleh berceramah,” katanya ketika dihubungi FMT, hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Mutalip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang juga menyatakan isu notis larangan 16 penceramah terbabit tidak seharusnya diperbesarkan.

“Benda jangan besarkan. Kalau tidak boleh berceramah, tidak payah berceramah,” katanya.

Bagaimanapun, Mutalip ketika dihubungi mengesahkan beliau bukanlah orang yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan syor berkenaan.

“Kena tanya bahagian pentadbiran, bukan saya keluarkan. Saya tidak keluarkan apa-apa surat. Sebabnya negeri lain juga ada keluarkan. Kita tidak viralkan perkara berkenaan,” tegasnya.

Dalam syor yang didakwa dikeluarkan oleh MAIJ, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin telah disenarai sebagai penceramah yang didakwa mengelirukan umat Islam selain tidak sealiran dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Malah, beliau turut dituduh memfitnah institusi mufti selain dipercayai sering memperlekeh ulama yang bermazhab al-Syafie.

Menerusi laporan berita yang disiarkan laman portal Malaysiakini hari ini, Mohd Asri menggesa agar MAIJ mengemukakan bukti terhadap tuduhan yang dilempar ke atas dirinya.

Tiada ulasan: