Rabu, 3 Februari 2016

DI MANA ZAHID HAMIDI, DUNIA MULAI MENGECIL BUAT 1MDB?

shahbudindotcom


 
 
 
Selepas Peguam Negara Switzerland mengeluarkan kenyataan tentang penemuan bukti mengenai transaksi haram berjumlah RM16,800 juta yang dipercayai ada kaitan dengan 1MDB di institusi kewangan negara itu, kini giliran Singapura pula bertindak hampir sama.

Jabatan Perhubungan Komersil Polis dan Pihak Berkuasa Monetari Singapura menyatakan, mereka telah merampas sejumlah besar akaun bank berhubung penyiasatan yang dijalankan sejak beberapa lama berkaitan 1MDB.

Dalam kenyataan media bersama yang dikeluarkan, mereka juga menyatakan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa di Malaysia, Switzerland dan Amerika Syarikat dalam usaha memantau aktiviti penggubahan wang haram dan beberapa kesalahan lain di negara itu.

Bermakna, akan ada perkembangan seterusnya mengenai 1MDB bukan saja di Switzerland dan Singapura selepas ini, bahkan juga di negara-negara lain yang berkaitan.

Yang menariknya, keadaan ini tidak saja memperlihatkan dua buah negara iaitu Switzerland dan Singapura sudah bertindak sesuatu dalam penyiasatan terhadap 1MDB, bahkan kedua-duanya juga memaklumkan perkembangan yang berlaku melalui kenyataan media.

Maka, jika Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi merasa "tergangggu"  dengan kenyataan media Peguam Negara Switzerland dan menyifatkannya boleh menjejaskan hubungan dua hala, tidakkah beliau turut sama "terusik"  dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh dua agensi penguatkuasa di Singapura itu?

Kenapa kali ini Zahid Hamidi berdiam diri dan tidak segera memberi reaksinya? 

Mengapa Zahid tidak menyatakan tindakan dua agensi penguatkuasa Singapura memberikan kenyataan media itu juga boleh menjejaskan hubungan dua hala dan sebaiknya memaklumkan saja sebarang dapatan secara diam-diam dengan Malaysia melalui hubungan antara kerajaan dengan kerajaan?

Adakah berdiam dirinya Zahid kali ini kerana beliau merasakan Najib Razak tidak perlu lagi dipertahankan apabila satu demi satu negara luar mulai menemui banyak kejanggalan dalam urusniaga 1MDB atau beliau sudah menyedari kesilapannya sebelum ini?

Hakikatnya, sejak awal lagi pun iaitu apabila Peguam Negara Switzerland mengeluarkan kenyataan berhubung penemuan transaksi haram di institusi kewangan negara itu yang dipercayai ada kaitan dengan 1MDB dan meminta bantuan Peguam Negara Malaysia, Zahid tidak seharusnya campurtangan dengan mengeluarkan kenyataan yang bersifat politik dan "membodek" Najib.

Beliau seharusnya lebih dulu memahami bahawa mendedahkan kepada orangramai bukan saja amalam biasa Peguam Negara Switzerland demi ketelusan dan kepentingan awam yang menjadi salah satu teras perkhidmatannya, bahkan mereka juga adalah sebuah badan bebas.

Dalam aspek lain, dengan perkembangan terbaru ini lantas menjadikan dunia ibarat semakin mengecil bagi 1MDB untuk meloloskan diri daripada segala kecurangan dan kemungkaran yang mungkin dilakukannya.

Rantaian agensi penguatkuasa seluruh dunia, bermula dengan di Switzerland dan Singapura, dipercayai akan terus berkembang mencari serta membongkar maklumat berkaitan salah laku yang selama ini barangkali berjaya diselindungkan.

Di sini, ia mungkin boleh dibuat silap mata serta dikaburkan pandangan mata, tetapi tentulah tidak mungkin pertunjukan yang sama boleh dipentaskan untuk memukau pandangan seluruh dunia.

Yakinlah, kebenaran dan keburukan akan terdedah akhirnya


1 ulasan:

Hidup Najib! berkata...

Bangkai dinosor tak boleh ditutup ngan sehelai wang kertas rm1 yg nilainya semakin merudum..