BELAGA,  “Bila tengok apa (padi) di depan mata, tunggu hasil tuaian pertama pada 23 Februari ini, menitik air mata saya. Apabila projek ini diperbesarkan lagi saya janji akan jadi ‘guru’ terbaik untuk ajar penduduk kampung,” kata Aring Sinai.


Apabila mendengar Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak (1MSAC) ingin melaksanakan projek perintis padi sawah di bawah inisiatif iM Sarawak di Uma Penan Lusong Laku, Aring, 40, antara yang tampil menawarkan diri untuk terlibat.

Bapa kepada lima cahaya mata berusia antara setahun hingga 24 tahun itu melihat projek itu sebagai langkah tepat untuk mengubah cara hidup tradisi etnik Penan yang bergantung kepada berburu dan mengumpul hasil hutan demi kelangsungan hidup.

Malah, Aring, antara empat orang etnik Penan yang dipilih sebagai perintis  projek itu melihat lebih jauh lagi iaitu masalah ponteng sekolah dalam kalangan anak-anak Penan juga dapat diselesaikan.

“Berburu bukannya senang … kadang-kadang terpaksa bermalam di dalam hutan, itu pun belum tentu dapat hasil, kadang-kala pulang dengan tangan kosong. Lebih teruk kadang-kala bermalam di hutan tidak makan apa-apa.

“Berkenaan pelajaran sekolah anak-anak juga tidak teratur, masalah ponteng juga berlaku sebab anak pun ikut bermalam di hutan ketika berburu dan di ladang apabila kami pergi menanam padi huma,” katanya ketika ditemui di penempatan berkenaan baru-baru ini.

Penempatan Penan Lusong Laku, di sini, kira-kira tujuh jam perjalanan dari bandar Bintulu, empat jam melalui jalan raya bertar manakala baki tiga jam lagi terpaksa menempuhi jalan pembalakan.

Bagi Aring, dia yakin apabila program ini berjaya, ibu bapa akan mempunyai lebih masa di rumah panjang, maka anak-anak boleh fokus kepada pembelajaran dan masalah ponteng pun tidak lagi berlaku.

Projek perintis seluas 10 hektar itu merupakan usaha sama Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak, Jabatan Pertanian Negeri dan Ceria Group itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 600 orang daripada 133 keluarga etnik itu apabila padi sedia dituai mulai 23 Februari ini

Menggunakan benih padi jenis MR263 mampu memberikan hasil tuaian lebih tinggi berbanding padi huma yang ditanam sebelum ini seterusnya mengatasi masalah kekurangan makanan yang dihadapi oleh masyarakat Penan di kawasan terbabit.

Aring mengakui tidak mudah untuk melaksanakan program berkenaan, selain cabaran diserang serangga perosak, persepsi negatif masyarakat mengenai etnik Penan yang sering kali dituduh ‘pemalas’, tidak mahu berusaha dan lebih selesa kekal hidup berburu dan mengutip hasil hutan kadang-kala turut mengganggu.

“Orang tuduh kami (Penan) tidak layak untuk bersawah padi namun kami sudah bukti itu semua salah. Ia saya akui pada mula saya pun terfikir tidak mampu lakukan ini semua tapi saya bersama tiga lagi rakan kuatkan semangat untuk terus berusaha.

“Lagipun bagi saya keja (kerja) di sawah tidak juga berat daripada kerja kami lalui selama ini. Kamu tahu masa tanam padi bukit kami terpaksa naik bukit, lebih jauh berpindah ke kawasan yang lain apabila tanah menjadi kurang subur, tapi padi sawah ini kami hanya tanam di kampung sahaja,” katanya.

Katanya menjadi pesawah juga lebih mudah, seawal jam 7 pagi dia sudah berada di sawah sehingga 12 tengah hari sebelum kembali menyambung kerja bermula 1 tengah hari sehingga 5 petang.

Bagi Penghulu Lusong Laku, Jati Jarang, 61, kisah kejayaan etnik Penan mengusahakan padi sawah di Lusong Laku akan menjadi buah mulut masyarakat sekitar.

Di Long Kajang, Long Abit serta beberapa penempatan di sekitar ini mereka boleh jadikan kisah kejayaan padi sawah ini sebagai bukti.

“Mengikut perancangan selepas projek perintis, padi sawah akan diperbesarkan sehingga 170 hektar, selepas ini kami tidak perlu lagi susah payah pergi ke  hutan cari makanan, terima kasih kepada kerajaan, terima kasih iM Sarawak,” katanya.

1MSAC ditubuhkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memberikan khidmat nasihat tentang keperluan rakyat Sarawak.


Projek iM Sarawak dilaksanakan oleh Yayasan Rakyat 1Malaysia dan Yayasan 1MDB dengan kerjasama daripada badan bukan kerajaan, agensi serta badan kerajaan negeri Sarawak.