Khamis, 25 Februari 2016

DAP belum terima jemputan himpunan anti Najib, Rafizi akan hadir

Geraldine Tong


LIHAT VIDEO DI SINI

DAP hari ini mengesahkan bahawa parti itu belum menerima sebarang jemputan rasmi bagi menghadiri perjumpaan tertutup 27 Mac anjuran bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bagi menumbangkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata demikian pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
“Saya belum dimaklumkan mengenai sebarang jemputan rasmi kepada DAP,” katanya.

Menurutnya, jika parti itu mendapat jemputan, mereka akan membincangkan perkara berkenaan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Beliau juga menjelaskan bahawa DAP tidak terlibat sama sekali dengan penganjuran perjumpaan itu.

Selasa lalu, Zaid berkata perhimpunan yang dijadualkan pada 27 Mac itu bukan merupakan bantahan awam tetapi sebenarnya adalah acara "tertutup" dan atas "jemputan sahaja" kepada kira-kira 1,000 orang.
Sebaliknya, beliau berkata acara 27 Mac itu adalah hanya perjumpaan tertutup.

"Saya lihat ramai pembaca masih bercakap mengenai perhimpunan pada 27 Mac Ia satu perjumpaan pemimpin dalam suasana tertutup.

"Saya tidak pernah kata ia akan menjadi protes jalanan atau perhimpunan awam.

"Saya bukannya seperti BERSIH," tulis Zaid dalam tweet.

Rafizi terima jemputan

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata beliau telah menerima dan menerima jemputan Zaid bagi menghadiri perjumpaan berkenaan.

Namun, Ahli Parlimen Pandan itu berkata beliau akan hadir atas kapasiti peribadi dan bukan sebagai wakil PKR.

"Saya berbincang dengan Zaid semalam. Dia beritahu saya format perjumpaan itu dan saya berkata, saya akan hadir," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

"Saya tidak pernah akan lepaskan peluang untuk hentam Najib atau Rosmah," katanya secara berseloroh sambil menambah jemputan telah dihantar kepada kebanyakan pengkritik pasangan itu.

Tiada ulasan: