Isnin, 1 Februari 2016

Cermin kereta dipecah, Adun Sekinchan hilang RM20,000

SINAR HARIAN


Adun Sekinchan, Ng Suee Lim
Keadaan kenderaan Suee Lim selepas dipecahkan pencuri. - Foto Facebook NG SUEE LIM


KUALA SELANGOR - Adun Sekinchan, Ng Suee Lim mendakwa beliau kerugian RM20,000 selepas wang tunai yang  diletak dalam keretanya hilang dalam kejadian cermin keretanya dipecahkan.

Suee Lim, 45, yang merupakan ahli politik DAP berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.20 tengah hari tadi selepas beliau meletakkan keretanya di kawasan tempat letak kereta yang terletak di seberang jalan berhadapan sebuah bank di pekan lama Kuala Selangor.

"Setelah kembali semula ke kenderaan saya selepas 10 minit kemudian, saya terkejut apabila mendapati cermin bahagian hadapan kereta jenis Mazda CX5 saya dipecahkan.

"Saya kemudian mendapati sebuah sampul surat bersaiz A4 berisi wang tunai RM20,000 yang diletakkan dalam kereta tersebut dilarikan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, wang tersebut sepatutnya digunakan sebagai bayaran bonus serta 'ang pow' bagi kakitangannya sempena sambutan Tahun Baru Cina nanti.

Sementara itu jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor mengesahkan menerima laporan daripada Suee Lim berhubung kejadian itu yang disiasat mengikut  Seksyen 379 Kanun Keseksaan. - Bernama


Tiada ulasan: