Selasa, 2 Februari 2016

BN gagal dapat perakuan 19 ADUN semalam?

MALAYSIAKINI




Ura-ura pengumuman baru pengganti menteri besar Kedah tidak berlaku selepas pertemuan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah semalam.

Bagaimanapun, seorang pemimpin pembangkang negeri membangkitkan sama ada BN gagal mendapat sokongan 19 wakil rakyatnya yang dikatakan menolak kepimpinan Datuk Mukhriz Mahathir.

Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar (gambar) berhujah, jika sokongan 19 wakil rakyat BN diperoleh, logiknya tidak perlu lagi memanggil ADUN pembangkang hari ini.

“(Ini) Kerana bilangan 19
ADUN sudah mencukupi untuk menggugurkan Mukhriz,” kata bekas naib presiden PAS itu.

Kedah mempunyai 36 DUN. Daripada jumlah itu, 21 dimenangi BN. Bagaimanapun, ADUN Jitra Datuk Aminuddin Omar memilih menyokong Mukhriz.

Jitra sebuah DUN dalam parlimen Kubang Pasu, kubu tradisi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga bapa Mukhriz, sebelum ini.

18-18 tiada masalah

Seramai 15 ADUN pembangkang dilapor akan menghadap anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah dipercayai berkaitan kedudukan Mukhriz sebagai menteri besar hari ini.

ADUN Pengkalan Kundor Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi ketika dihubungi Bernama malam tadi mengesahkan dimaklumkan untuk mengadap pada pukul 2.30 petang di Wisma Darul Aman di Alor Setar.

Dalam kenyataan hari ini, Mahfuz membangkitkan persoalan sama ada kumpulan anti-Mukhriz hanya mendapat sokongan 18 ADUN sahaja dan Mukhriz mendapat tiga kerusi dan pembangkang pula 15.

“Adakah ini bermakna harapan hanya ada pada pembangkang untuk kekalkan Mukhriz
sebagai MB dan tewaskan (Datuk Seri) Najib (Razak) pada petang hari ini

“Walaupun jumlahnya sama banyak 18-18 tiada masalah untuk kerajaan ini kekal dengan Mukhriz sebagai MB asalkan Najib dan konco-konconya kalah.

“Menghalang Mukhriz disingkir bermakna menewaskan Najib,” kata Mukhriz yang turut hadir dalam perhimpunan pro-Mukhriz di stadium di Alor Setar malam tadi.


Tiada ulasan: