Isnin, 15 Februari 2016

Artikel AG terhutang budi, polis siasat Dr M

SINAR HARIAN


Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar


GEORGETOWN - Polis mula menjalankan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan dalam blognya baru-baru ini yang didakwa berunsur fitnah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan dimulakan sebaik sahaja menerima laporan daripada beberapa pihak yang mahu perkara itu diambil tindakan segera.

"Laporan polis itu diterima sehari dua lepas...setiap tindakan mesti ikut peraturan undang-undang dan patuhi semua proses perundangan. Kita tidak boleh emosional dalam semua perkara.

"(Kemudian) kami akan bincang dengan Jabatan Peguam Negara, bila (terbukti) ada kes yang perlu diambil tindakan, kami akan ambil," katanya kepada pemberita selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pulau Pinang antara Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi dan Datuk Abdul Ghafar Rajab.

Dalam tulisan di blognya pada 5 Februari lalu, Dr Mahathir mengatakan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak mempunyai kredibiliti dan mendakwa Mohamed Apandi tidak akan mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International dan dana RM2.6 bilion kerana kononnya terhutang budi dengan Najib.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, polis akan bekerjasama penuh dengan Jabatan Imigresen berhubung kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh.

Ditanya adakah saringan lebih ketat akan dilakukan terhadap pekerja asing itu, beliau berkata, pihakanya akan ambil langkah yang patut dan perlu dalam pastikan warga asing tersebut tak beri ancaman kepada rakyat negara ini.

Sebelum ini, Abdul Ghafar merupakan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, manakala Abdul Rahim yang berkhidmat di Pulau Pinang sejak 2012 bertukar ke kontinjen Perak sebagai Ketua Polis Perak. - Bernama


Tiada ulasan: