Selasa, 2 Februari 2016

Apandi di bawah telunjuk Najib, kata Dr Mahathir

MALAYSIAKINI




Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencemuh penjelasan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang berkata bahawa wang yang dijumpai di akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah sumbangan daripada keluarga diraja luar negara.

"Saya fikir peguam negara berada di bawah kawalan subjek siasatan itu, iaitu perdana menteri," katanya yang dipetik akhbar kewangan di United Kingdom, Financial Times.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa Mahathir menolak penjelasan Apandi yang disifatkannya sebagai "mengarut" dan berikrar untuk terus mendedahkan perkara salah yang didakwanya dilakukan oleh Najib.

Artikel bertajuk 'Malaysia stifles dissent as public unrest grows' itu diterbitkan hari ini dan merupakan artikel kedua dalam penerbitan akhbar kewangan itu yang memberi tumpuan khusus kepada masalah di Malaysia.

Financial Times pada 27 Januari lalu menerbitkan artikel bertajuk 'The threat Najib poses to Malaysia's reputation' dengan melabelkan 1MDB Najib dan skandal 'derma' itu memberi imej yang buruk terhadap Malaysia.

Bagaimanapun artikel yang disiarkan itu disangkal oleh duta Malaysia ke United Kingdom yang mempersoalkan kebenaran dan kesahihan maklumatnya.

Financial Times adalah akhbar perniagaan asing kedua yang membidas Najib selepas The Wall Street Journal (WSJ) yang membuat laporan susulan dan mendedahkan bukti berhubung tuduhan terhadap Najib yang membabitkan 1MDB dan wang yang beliau akui telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya .
WSJ telah menerbitkan beberapa artikel mengenai perkara itu dan berdiri teguh dengan dakwaan berkenaan meskipun peguam Najib mengugut untuk menyaman mereka.

Sehingga hari ini, belum ada tindakan undang-undang yang diambil ke atas akhbar di Amerika Syarikat itu.
Najib terus menafikan sebarang salah laku.

Tiada ulasan: