Isnin, 1 Februari 2016

Ali Tinju buat laporan polis lakaran Najib bermuka ‘badut’

MALAYSIAKINI




Pemimpin NGO pro-BN, Mohd Ali Baharom hari ini membuat laporan polis berhubung lakaran artis Fahmi Reza yang memaparkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan muka badut.

Mohd Ali yang diiringi oleh rakan-rakannya dari kumpulan Gerakan Merah membuat laporan itu di daerah Balai Polis Dang Wangi hari ini.

"Tindakan beliau adalah satu penghinaan kepada perdana menteri yang boleh menyebabkan kemarahan rakyat dan menghasut kepada sehingga boleh menyebabkan kebencian kepada orang ramai, " katanya dalam laporan polis.

Mohd Ali berkata lakaran dimuat naik dalam talian dan tersebar di internet selepas ia dikongsi oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dalam akaun instagram n_izzah semalam.

Beliau juga menggesa Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (SKMM) dan polis bertindak terhadap mereka yang bertanggungjawab membuat lakaran itu.

“SKMM dan PDRM harus mengambil tindakan kepada orang berkenaan supaya viral posting itu diberhentikan dan orang tersebut ditangkap supaya mengelakkan posting penghinaan lain di media sosial,” katanya.

Laporan polis itu dimuat naik di Facebook oleh seorang ahli Umno,Syed Rosli Jamalullail yang berkata tindakan itu adalah amat ‘biadap’.

"Gerakan Merah setegas-teganya menolak budaya tidak bertamadun ini yang menghina pemimpin nombor satu negara kita,” kata Syed Rosli.

Tiada ulasan: