Rabu, 10 Februari 2016

Adenan jamin situasi banjir di Sarawak terkawal

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETRA JAYA: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, hari ini memberi jaminan situasi banjir di negeri ini adalah terkawal dan dapat ditangani dengan baik. 
 
Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Banjir dan Tanah Runtuh di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia, di sini sebentar tadi, Adenan berkata banjir kali ini dapat ditangani dengan baik disebabkan koordinasi cemerlang dan kerjasama erat semua pihak. 
 
"Saya amat berpuas hati dengan kerjasama diberikan dan setakat ini tiada laporan kecelakaan nyawa ataupun rumah dibawa arus banjir dilaporkan. 
 
Malah, katanya, sistem baraj yang dilaksanakan di Sungai Sarawak juga berfungsi dengan baik dalam mampu mengawal kenaikan paras air. 
 
Dalam kejadian banjir petang semalam dan pagi ini, jumlah air yang bertakung di Sungai Sarawak melebihi kadar air laut, malah melimpahi kadar ketinggian pintu baraj. 
 
Adenan menjelaskan sehingga minggu depan, air pasang dan hujan tetap berlaku, tetapi diramalkan tidak seteruk sebelum ini. 
 
Mengenai jalan raya yang terjejas kerana banjir dan tanah runtuh, beliau memaklumkan kerja-kerja baik pulih akan dilakukan serta-merta, dan sehingga kini, semua laluan yang terjejas sudah dapat digunakan. 
 
Difahamkan, banjir sejak dua hari lalu menyebabkan 29 jalan rosak dan 38 kejadian tanah runtuh yang menelan kos baik pulih sehingga lebih RM23 juta. 
 
Ditanya sama ada kerajaan negeri akan memberikan wang ehsan, beliau menegaskan bahawa perkara itu bukan keutamaan ketika ini. 
 
"Kita sedang memberi tumpuan kepada proses menyelamat dan akan mempertimbangkan dana ehsan kemudian. "Jika ada, ia akan hanya diberikan kepada mereka yang berpindah ke pusat pemindahan," katanya. 
 
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Ghani dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri, Datuk Misnu Taha. 
 
Kuching sekali lagi dijangka mengalami air pasang besar setinggi 8.2 meter pada jam 5 petang ini. Kali terakhir Kuching dilanda banjir buruk adalah pada tahun 2004.
 
 

Tiada ulasan: