Rabu, 3 Februari 2016

58 didakwa berkaitan ajaran Millah Ibrahim

THE MALAYSIAN INSIDER



Seramai 58 individu didakwa di Mahkamah Tinggi dan Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini terhadap pertuduhan cuba menjelaskan kepercayaan agama dikenali sebagai ajaran Millah Ibrahim @ Abraham dan mengajar agama itu tanpa tauliah.

Mereka yang terdiri daripada 12 wanita dan 46 lelaki termasuk pelajar dan penganggur, masing-masing didakwa di 2 mahkamah.

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 3 lelaki iaitu Farzlie Rahmat, 40, Hamatun Mezi Wahab, 49, dan Sehadle Sa'aamah, 35, didakwa di hadapan Hakim Syarie Abdul Karim Wahab.

Mereka didakwa cuba menjelaskan doktrin atau kepercayaan agama selain agama Islam, yang berlawanan dengan hukum syarak dengan mencampuradukkan kefahaman kandungan ayat Al-Quran dengan kitab Bible yang didapati antara ciri-ciri di dalam ajaran Millah Ibrahim @ Abraham. 
 
 Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik Sakura International Youth Centre di No. 1, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, Cheras di Kuala Lumpur pada 8.32 malam semalam (1 Februari).

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 dan boleh di denda RM5,000 atau dipenjara sehingga 18 bulan atau disebat sehingga 6 sebatan atau mana-mana 2 daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa cuba mengajar agama Islam tanpa tauliah pada masa, tarikh dan tempat mengikut Seksyen 11, akta sama dan boleh didenda RM5,000 atau dipenjara sehingga 18 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sembilan lagi tertuduh ialah Zaitullailati Taslim, 31; Adly Azman, 24; Aszrul Nizam Zainal Badol Nizam, 22; Mohd Nazari Buang, 39; Mohd Saad Ghazali, 35;  Muhamad Arif Afrison, 24; Muhammad Hasif Che Kemarudin, 27; Muhammad Razeeq Iskandar Ruslanno, 20, dan Muhammad Shawaluddin Shafar, 27.

Mereka didakwa bersubahat mengambil bahagian bersama-sama dalam satu majlis yang dikendalikan Farzlie, Hamatun Mezi dan Sehadle untuk melakukan kesalahan sama iaitu cuba menjelaskan ajaran itu di tempat, masa dan tarikh sama yang membawa hukuman denda dan penjara yang sama.

Sementara itu, 43 lagi tertuduh didakwa di Mahkamah Rendah terhadap pertuduhan sama iaitu bersubahat mengambil bahagian bersama dalam satu majlis yang dikendalikan Farzlie, Hamatun Mezi dan Sehadle untuk melakukan kesalahan sama di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Semua tertuduh yang berusia di antara 19 hingga 59 tahun didakwa mengikut seksyen sama di hadapan Hakim Syarie Mohd Saifullah Hamzah.

Hakim Mohd Saifullah bagaimanapun membenarkan 3 daripada 43 tertuduh iaitu Norhazlina Ahmad, 39, Rozita Omar, 44, dan Norfadzilah Mohd Abdullah, 39, diikat jamin RM3,000 dengan empat penjamin yang merupakan penjawat awam yang berjawatan Jusa B dan bermastautin tetap di Kuala Lumpur.

Tiga lagi tertuduh iaitu Nor Azri Baharudin, 48, Mohd Halimin Mohd Nasir, 40, dan Mohd Agus Abu Samah, 39, pula didakwa membantu satu majlis yang dikendalikan Farzlie, Hamatun  Mezi dan Sehadle untuk melakukan kesalahan sama di tempat, masa dan tarikh yang sama dan didakwa mengikut Seksyen sama.

Hari ini, mahkamah tidak merekodkan pengakuan daripada semua tertuduh dan menetapkan 8 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi merekodkan pengakuan mereka.

Hakim turut membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kesemua kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Syarie Zainor Rashid memohon supaya kesemua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin berikutan 2 lagi kumpulan sebelum ini, yang didakwa terhadap pertuduhan sama, gagal mematuhi syarat jaminan selain beberapa tertuduh lain melarikan diri selepas dibenarkan jaminan.

"Sehubungan itu, pendakwaan memohon kesemua tertuduh ditahan sehingga tarikh baharu ditetapkan mahkamah. Semua tertuduh yang ditahan semalam (1 Februari) merupakan kelompok ke-3 selepas 2 lagi kelompok didakwa pada tarikh sebelum ini," kata Zainor Rashid.

Bagaimanapun, Zainor Rashid berkata pendakwaan meletakkan syarat setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dan penjamin merupakan ibu atau bapa tertuduh sahaja sekiranya mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin. – Bernama


Tiada ulasan: