Rabu, 17 Februari 2016

'1MDB, RM2.6b tiada kesan besar pada pilihan raya S'wak'

MALAYSIAKINI




Skandal 1MDB dan sumbangan derma RM2.6 bilion adalah isu yang panas di Semenanjung Malaysia, tetapi tidak ada kaitan langsung dengan Sarawak, kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Oleh itu, katanya, isu berkenaan tidak akan mempunyai kesan yang besar pada pilihan raya negeri akan datang.

"Pembangkang sentiasa suka kaitkan isu-isu ini dengan Sarawak, dengan hujah bahawa sokongan kepada Adenan adalah ibarat menyokong (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Razak).

“Faktanya, isu-isu ini tidak ada kaitan dengan Sarawak atau diri saya.

"Saya tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku itu," kata Adenan ketika ditemu bual dengan Media Chinese International Limited, menurut laporan mysinchew.

Bercakap tentang masyarakat Cina, ketua menteri itu yakin pengundi Cina akan kembali memberi sokongan kepada BN.

"Kawan-kawan saya beritahu terdapat tanda-tanda pengundi Cina akan kembali kepada BN. Kuantiti adalah soalan lain."

Bagaimanapun, katanya, beliau berbuat baik kepada masyarakat Cina bukan kerana mahu memuaskan hati mereka tetapi kerana ia adalah dasar kerajaan negeri.

Dasar itu merujuk kepada pengiktirafan kerajaan negeri terhadap sijil UEC, peningkatan peruntukan kepada sekolah-sekolah Cina dan penerimaan graduan sekolah tinggi persendirian menyertai perkhidmatan awam negeri.

Tiada ulasan: