Selasa, 2 Februari 2016

1MDB : Pakatan Harapan akan pastikan keadilan tertegak

 
Ia disebabkan rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui kebenaran berhubung isu 1MDB.


Shamsul-Iskandar-Mohd-Akin


PETALING JAYA: Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan proses siasatan dan pendakwaan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan tertegak walaupun terpaksa mengambil masa lama sekiranya gabungan pembangkang itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Perkara itu dinyatakan oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mohd Akin apabila menegaskan, ia disebabkan rakyat Malaysia sememangnya berhak untuk mengetahui kebenaran berhubung isu berkenaan.

Dalam pada masa sama, Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil memuji tindakan pihak berkuasa Singapura iaitu Commercial Affairs Department (CAD) dan Monetary Authority of Singapore (MAS) kerana merampas sejumlah akaun bank yang dikaitkan dengan siasatan terhadap 1MDB semalam.

Beliau turut mengharapkan pihak berkuasa Singapura agar kekal konsisten dan tegas dalam meletakkan keutamaan integriti republik itu sebagai pusat kewangan global yang tersohor mengatasi kepentingan hubungan dua hala melibatkan Barisan Nasional dan PAP.

“Sebaran tindakan `sweeping matters under the carpet’ akan dilihat menjejaskan reputasi Singapura malahan, akan mengkhianati rakyat Malaysia yang bergelut dengan kebimbangan menuntut kebenaran dalam kes ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shamsul menambah, pihaknya turut menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Peguam Negara Switzerland baru-baru ini bahawa siasatan terhadap 1MDB didakwa telah mendedahkan bahawa kira-kira AS$4 bilion (RM16.6bilion) telah diselewengkan daripada syarikat-syarikat milik kerajaan Malaysia.

“Tentunya rakyat Malaysia akan bersama dengan semua pihak yang sentiasa istiqamah menegakkan keadilan dan mendedahkan kebenaran,” ujarnya.

Tiada ulasan: