Rabu, 13 Januari 2016

Yang retak akan meledak

Hishamuddin Rais  



 


Tahun 2016 baru sahaja masuk hari yang ke-13. Kali ini saya akan membawa surah dan ayat songsang kepada para pembaca. Saya bukan berniat untuk menakut-nakutkan pembaca. Saya juga tidak ada niat untuk menyesatkan pembaca. Tulisan saya hanya bertujuan untuk memberi ingatan dan pencerahan.

Kita lalui tahun 2015 dengan penuh keperitan – harga barang melambung, perbelanjaan harian untuk hidup mendadak naik. Pada tahun 2015 dahulu apa sahaja yang kita usik - semua harganya terus berubah-ubah menjadi lebih tinggi.

Walaupun harga bahan bakar petrol turun tapi ianya tidak membawa apa-apa makna hakiki. Ini kerana tangga gaji dan pendapatan kita masih di tahap lama.

Awas, tahun 2016 ini tidak akan menjanjikan keselesaan hidup. Tahun 2016 ini akan dirasai lebih perit dari perit. Akan dirasai lebih susah dari susah. Kos untuk hidup akan terus naik. Harga bahan makanan akan mendadak naik. Satu demi satu subsidi ditarik. Justeru tahun 2015 dan tahun-tahun sebelumnya akan dilihat dengan nostalgia, penuh dengan kemeriahan saperti musim buah yang lumayan.

Untuk memahami apa yang akan terjadi kepada Malaysia kita wajib memahami apa yang sedang berlaku di luar Malaysia.

Babak-babak politik luar negara sama pentingnya dengan babak-babak politik yang berlaku di hadapan mata kita. Malah kadang kala apa yang berlaku di luar negara lebih penting dari apa yang berlaku di parlimen kita.

Gagal memahami hakikat ini maka kita akan gagal memahami apa yang sedang menampar muka kita. Jika kita tidak memahami politik dunia maka bacaan politik dalam negara kita akan tersasul dan salah baca.

Dunia hari ini ikat mengikat, kait mengait. Ini bukan bermakna dunia kini tanpa sempadan. Wilayah masih ada - sempadan negara masih wujud.

Yang semakin tidak ada sempadan ialah modal. Sempadan kini dikoyak dan dilanggar oleh modal tanpa tentangan. Modal kini bergerak ke sana sini tanpa sempadan.

Dalam siri tulisan yang lalu, saya telah menyatakan bahawa modal milik kaum kapitalis dan syarikat antarabangsa tidak ada agama, tidak ada negara, tidak ada bangsa, tidak ada kesetiaan, tidak ada bahasa. Kiblat modal ialah keuntungan maksimum.

Hukum dan watak modal tidak ada perbezaan sama ada di London, New York, di Mekah atau di Senaling. Modal dari permulaan sejarah dunia bertujuan untuk mencari keuntungan.

Ketika ekonomi kita tidak menentu, tiba-tiba Najib tmengumumkan bahawa bajet yang baru diluluskan akan disemak kembali. Ini belum pernah berlaku. Seharusnya berita ini menjadi perbincangan berterusan.

Tapi seperti biasa media mandul negara kita tidak melihat tanda dan makna dari kenyataan Najib ini. Tuan dan Encik Kang Kong dari fakulti ekonomi universiti tempatan tidak memahami makna dan tanda kenyataan ini.

Untuk saya apabila Najib membuat kenyataan sedemikian bermakna Malaysia sedang menuju ke ruang krisis ekonomi yang maha sangat. Kenyataan itu memberi makna pendapatan negara makin merosot.

Hutang negara makin meninggi. Bunga hutang makin bertambah. Nilai ringgit makin jatuh.

Pendapatan merosot kerana harga dua jenis minyak makin menurun. Harga minyak sawit dan minyak petrol yang menjadi asas pendapatan negara semakin murah.

Jelas, pendapatan negara merosot kerana harga minyak mentah sedang turun dalam pasaran dunia.

Lambakan bahan bakar petrol di pasaran dunia menjadikan harga minyak mentah mendadak jatuh. Kini harganya di bawah AS$40 untuk satu tong.

Harga minyak sawit juga jatuh. Ini kerana minyak sawit bukan lagi bahan mentah monopoli Malaysia. Zaman kita menjadi jurupandu telah tamat. Indonesia kini menjadi pengeluar utama. Maknanya apabila pengeluaran bertambah tapi permintaan masih di tahap lama, maka harga pasti akan jatuh.

Dalam masa yang sama barang eksport buatan Malaysia tidak diperlukan dalam pasaran dunia.

Permintaan dunia semakin menguncup. Kilang pembuatan bahan eksport kita kini tergugat.

Dari sini kita mula terbaca tentang berita bagaimana anak mahasiswa sedang mengikat perut. Duit pinjaman PTPTN mereka dihantar pulang untuk menampung keluarga.

Kita juga mula terdengar bagaimana ada ura-ura untuk menjadikan semua duit PTPTN sebagai hutang tidak mengira dapat 4 pointer atau sarjana kelas pertama.

Kita mula terdengar bagaimana tidak ada lagi pengambilan pekerjaan di jabatan kerajaan. Kita juga mula mendengar bahawa semakin ramai graduan dengan ijazah perguruan tidak mendapat kerja. Jumlah graduan pelbagai ijazah tanpa kerja semakin bertambah.

Dalam masa yang sama kita juga terbaca tahun lalu 25,000 orang pekerja dari pelbagai jurusan telah diberhentikan. Paling memeranjatkan adalah berita 250 juruterbang MAS hilang kerja.

Tiba-tiba kita terbaca bagaimana Najib memberi ingatan kepada jabatan kerajaan agar berbelanja dengan berhemah. Ramai melihat kenyataan Najib ini sebagai lawak. Tetapi hakikatnya Najib tahu data yang lebih lengkap dan lebih terperinci, justeru Najib membuat seruan itu.

Untuk saya semua ini adalah tanda-tanda bahawa ledakan ekonomi akan sampai.

Di luar negara perang berterusan di Timur Tengah. Kuasa imperialis yang dikepalai oleh Amerika telah menyerang Syria selama empat tahun. Rancangan Amerika bersama Arab Saudi dan Turki kelihatan gagal.

Perang Syria ini sedang mengancam bukan hanya negara Arab malah menggoyang kestabilan politik Eropah dengan kesampaian warga pelarian perang. Yaman sebuah negara paling miskin dalam dunia sedang diserang dan dibom oleh Arab Saudi dan kuncu-kuncu dari Negara Teluk.

Dalam masa yang sama perang masih berterusan di Iraq dan Afghanistan. Di Pakistan, Somalia dan Nigeria, ledakan demi ledakan terus berlaku. Pertempuran antara pihak yang berkuasa dengan yang dirampas kuasa berterusan. Mayat kedua-dua belah pihak terus bergelimpangan.

Apa akan terjadi pada tahun 2016 ini?

Saya dengan penuh keyakinan melihat tahun 2016 ini sebagai permulaan zaman meleset yang lebih buruk dari zaman The Great Depression tahun 1929.

Dari pengamatan saya, apa yang sedang berlaku dalam negara kita ini sedang berlaku juga di negara-negara lain di Asia, Afrika dan Amerika Latin. Pada hemat saya tidak banyak perbezaan antara kita dengan negara Dunia Ketiga yang lain.

Kacau bilau ekonomi ini bukan hanya dalam negara kita sahaja. Di mana-mana pun dalam dunia yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis kekacauan ekonomi sedang berlaku.

Di Eropah - kita telah melihat apa yang telah berlaku di Greece. Kini wabak Greece sedang menjangkiti Itali, Sepanyol dan Portugal. Di Amerika Latin kita melihat negara Argentina dan Mexico tidak ada keupayaan untuk membayar hutang.

Secara ilmiah – sama saperti kiraan algebra dalam ilmu hisab – empayar Amerika yang berasaskan kertas hijau yang dipanggil dolar akan runtuh. Ini hukum ekonomi, tak kira ekonomi sosialis atau kapitalis. Jika hutang negara bertapuk-tapuk maka hutang ini akan menenggelamkan negara.

Amerika yang terus mencetak kertas hijau yang dipanggil dolar telah sampai ke satu tahap di mana dolar ini tidak diyakini lagi. Hilangnya keyakinan terhadap dolar adalah permulaan tahap keruntuhan empayar Amerika.

Sejarah dolar begini: Sesudah Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat mengambil tempat Britain sebagai juara utama kuasa imperialis dunia. Selama dua puluh tahun sesudah perang, Amerika menjadi jurumudi ekonomi kapitalis dunia.

Ekonomi berkembang. Dolar berkuasa di mana-mana. Pasaran baru dibuka. Produk baru dicipta. Dunia kapitalis Amerika dan Eropah berpesta seperti tidak ada kelmarin dan esok. Ini ketika dunia diperintah oleh empayar Pax Americana.

Bermula pada tahun 1971, dolar tidak lagi disandarkan dengan emas. Amerika mencetak kertas hijau yang dipanggil dolar untuk membayar hutang Perang Vietnam. Untuk ganti emas, Amerika membuat perjanjian dengan Saudi – pengeluar utama minyak – untuk memaksa supaya jual beli minyak petrol wajib menggunakan kertas hijau ini. Amerika menjadi pengeksport kertas hijau. Maka muncul apa yang dipanggil Petrodollar.

Tujuh puluh tahun sesudah perang dunia tamat, era Pax Americana sedang berakhir. Zaman tepu telah masuk. Kong kalikong Amerika bersama Saudi dalam hal jual beli petrol ini telah sampai ke tahap akhir.
Semakin ramai negara telah berani meminggirkan dolar dalam urus niaga mereka – sama ada jual beli minyak atau jual beli bahan yang lain.

Semua ini adalah tanda hari-hari akhir untuk dolar dan Pax Americana.

Sabar. Jangan terlalu cepat. Hari-hari akhir dolar ini pasti akan sampai. Tentang ini saya cukup yakin.

Dalam masa yang sama saya memberi ingatan bahawa bencana besar akan sampai untuk kita semua.

Jangan lupa Saddam Hussein dan Gadaffi menjadi arwah kerana mereka mahu membawa Iraq dan Libya meninggalkan dolar dalam hal jual beli minyak. Lihat apa yang sedang terjadi kepada Libya dan Iraq.

Ini hukum modal. Ini hukum ekonomi kapitalis. Ianya tidak mudah disingkir dan tidak mudah diketepikan. Kaum pemodal antarabangsa sedang menyusun dan sedang mengatur.

Pada ketika ini warga Malaysia sedang berhadapan dengan Najib dan panglimanya dari United Malays National Organisation. Mereka ini secara sedar dan mungkin secara tidak sedar adalah bidak catur dalam kerangka kuasa imperial Amerika.

Ketika kita berhadapan dengan Najib dan kuncu-kuncunya kita juga wajib sedar bahawa kuasa imperial Amerika sedang mengatur strategi dan membuat persediaan. Justeru kita sendiri sedang berhadapan dengan TPPA yang menjadi sebahagian dari strategi kaum pemodal.

Ada satu lagi perancangan yang sedang diatur dan disusun. Kaum pemodal antarabangsa sedang menyediakan perang. Untuk kaum kapitalis, perang ialah perniagaan yang amat menguntungkan.

Justeru saya ingin bertanya, apakah kita semua sedar bahawa perang dunia sedang dirancang?

Tiada ulasan: