Selasa, 26 Januari 2016

TPPA tidak bantu tingkatkan pertumbuhan ekonomi

tppa

Oleh Fatih Hassan Nordin


KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong menggesa semua wakil rakyat yang menghadiri sidang khas Parlimen selama dua hari bermula hari ini supaya menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Katanya, ia ekoran beberapa faktor yang disifatkannya tidak menguntungkan negara walaupun kerajaan berulang kali cuba menyakinkan rakyat kononnya ia meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Mustapha Mohammed bahawa TPPA bakal membawa pelaburan lebih tinggi hanya ‘fiksyen’ semata-mata.

“Pertama, cabaran utama negara bukan berkaitan pelaburan langsung asing (FDI) tetapi berkaitan keyakinan syarikat swasta negara ini terhadap situasi ekonomi Malaysia walaupun mempunyai dana besar.

“Kedua, cabaran sebenar ekonomi negara ialah untuk meningkatkan kemahiran, produktiviti dan upah, tidak ada makna menarik FDI jika terus menggunakan khidmat pekerja asing tanpa kemahiran,” katanya.

Malah, Chin Tong pada pada kenyataan media, hari ini turut mengkritik kenyataan yang mengatakan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) akan meningkat melalui TPPA.

“Pertumbuhan berkualiti hanya dapat diperoleh apabila Malaysia bersaing dengan Korea dari segi teknologi, bukannya bersaing dengan Vietnam dan Indonesia berkaitan tenaga pekerja yang murah.

“Alasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa jika kita tidak menyertai TPPA, Vietnam akan mengambil faedah dan mengisi kekosongan hanya membuktikan bahawa beliau tidak faham ekonomi,” katanya.

Chin Tong turut mempersoal kenyataan bahawa faedah yang bakal diperoleh pelbagai sektor antaranya sektor tekstil di negara ini yang disifatkanya belum cukup menyakinkan untuk bersaing di pasaran global.

“Beritahu saya di mana industri tekstil di negara ini? Jawapan saya, hanyalah kecil-kecilan di Batu Pahat yang dimiliki rakyat Malaysia dan terletak di Vietnam. Dengan kata lain, hampir tiada industri tekstil di negara ini,” katanya.

Pengarah Pendidikan Politik DAP itu juga mempersoal ketelusan yang kononnya dibawa TPPA seperti dakwaan mereka yang menyokong perjanjian berkenaan.

“TPPA ada hasrat dari pelobi dari Amerika Syarikat, tambahan dari hasrat daripada egara yang terlibat, justeru, kita tidak boleh mengharapkan perjanjian perdagangan seumpama itu bersifat telus,” katanya.

Justeru, walaupun Chin Tong tidak dapat hadir ke sidang berkenaan atas faktor kesihatan, beliau tetap mengajak perwakilan merenung semula isu berkenaan dan mendesak mereka supaya menolaknya. -Roketkini.com


Tiada ulasan: