Khamis, 14 Januari 2016

TPPA persediaan menuju perang ekonomi

Oleh Amirrul Jeffery Igai


Usah diharapkan kemakmuran menjelma di kala 2015 melabuhkan tirai dan 2016 datang menyambut.Zaman kemakmuran kita sudah lama berlalu.

Jangan dikenang soal kemakmuran.Kemakmuran cuma tinggal kenangan dan nostalgia indah yang hanya sesuai kita imbas kembali semasa bersembang dan berbicara dengan rakan taulan dan saudara mara di kedai kopi.


Zaman indah yang lama berlalu. Tahun 2015 hanya merupakan latihan dan “warming up” bagi keperihan dan keperitan untuk 2016 dan tahun mendatang yang entah sampai bila akan menitikkan noktah.

Maka, bersedia untuk kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang akan semakin menekan pengguna.

Bersedia untuk konflik sosial yang semakin mencanak naik. Bersedia untuk pertempuran politik yang semakin mengganas. Serta bersedia juga untuk keruntuhan dan kemuraman ekonomi tempatan dan dunia yang semakin hari semakin menunjukkan perangai gila. Semua ini kerana disebabkan sistem ekonomi kapitalis yang semakin nazak.

Jangan disalah tafsir mukadimah saya. Tiada niat untuk menakut-nakutkan kalian. Bukan hajat untuk mencipta kisah songsang lagi gelap bagi menimbulkan suasana panik. Ini bukan cerita menjual segala “haru bin segala hara”.

Tetapi ingin membawa pembaca kepada pencerahan agar kita tidak sentiasa berkhayal den berdengung. Agar tidak meraba-raba mencari kemakmuran yang lama hilang.

Saya mendengar kisah tentang bagaimana menteri perdagangan antarabangsa dan industri (Miti) bersurah tentang Malaysia boleh menarik diri pada bila-bila masa daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) selepas pelaksanaannya jika berasa kurang selesa tanpa sebarang penalti.

Tanpa sebarang penalti? Ini sesuatu yang gila. Bagi saya ia tidak semudah itu. Ia tidak sesenang menabung dari kecil untuk menyimpan duit RM24 juta untuk membeli sebentuk cincin berlian. Tidak semudah seperti memasukkan segerombolan lembu ke dalam kondominium mewah.

Jika perjanjian TPPA sudah dimerterai dan ditandatangani, bermakna kita sudah bersetuju untuk bersengkongkol dengan Amerika Syarikat dan salah satu pihak yang berkolaborasi bagi melihat TPPA sebagai suatu langkah untuk mengatasi China sebagai kuasa perdagangan di rantau Asia.

Jangan mudah terbuai cerita dongeng berikan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengatakan Malaysia – matlamatnya adalah untuk mempelbagaikan perdagangan, menjalin hubungan baik dengan semua negara dan meningkatkan jumlah perdagangan, pelaburan dan pendapatan negara, mahupun ayat yang mengkhayalkan seperti matlamat Malaysia menyertai TPPA ini (bagi Malaysia) adalah untuk menjalin hubungan dengan negara-negara yang masih belum mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Pada mata kasar ada benarnya. Saya tidak menafikan. Ia tidaklah sampai ke tahap yang terlalu besar.
Tetapi perlu diperhalusi dan dikaji sebijak mungkin bagi mengelakkan kita terjerat di tengah-tengah pergaduhan 2 blok negara ekonomi besar Amerika dan China. Jangan dikejar tidak dapat dan yang dikendong berciciran.

Kalau kita tidak bersetuju dengan TPPA maka ia harus dinyatakan terlebih awal. Bukan sudah sampai ke peringkat “final lap” atau pusingan terakhir. Apabila sudah bersetuju untuk berada dalam satu tongkang dengan kapitalis Amerika, maka jalan untuk keluar dan menarik diri daripada perjanjian mungkin ada – dengan syarat kita bersedia menanggung segala yang hitam, putih dan akibatnya.

Kita tidak dilepaskan bebas sebegitu sahaja. Kita tersepit ditengah-tengah perang ekonomi global bagi percaturan mewujudkan dan membuka kepada perang besar sesudah Perang Dunia Pertama (WW1) dan ke-2 (WW2).

Kira adanya perlu bagi saya membawa pembaca ke tahun 1922 sehingga 1925. Di mana pada 1922–1925 merupakan percubaan dan eksperimen dengan taktik dan modus operandi yang sangat tradisional.

Para pemilik modal antarabangsa yang berkiblatkan dan menyembah sistem ekonomi kapitalis membanjiri pasaran modal negara-negara yang memenangi peperangan dan beberapa negara-negara neutral dengan saham dan kredit serta pelaburan secara besar-besaran – sehinggakan mencetuskan kenaikan harga barangan serta meningkatkan produksi dan kegiatan perniagaan.

Selepas itu, segala dana, pelbagai saham dan pelaburan sedia ada dalam bursa saham antarabangsa secara tiba-tiba ditarik balik.

Sehinggakan meledakkan krisis ekonomi yang drastik dan dahsyat pada 1925. Nilai mata wang merosot buat sementara waktu. Selanjutnya, keadaan mencengkam seperti itu menyebabkan lembaga kewangan serta perniagaan yang kecil terpaksa gulung tikar – di samping mengakibatkan timbulnya rusuhan dan keruntuhan moral di setiap rakyat negara-negara yang runtuh ekonominya.

Selepas itu, saham ditarik balik tadi dicampakkan semula ke pasaran modal dalam bentuk pinjaman dan transaksi dan keadaan nilai mata wang kembali pulih. Kaum pemilik modal antarabangsa meraih dan mendapat pulangan yang lumayan. Keuntungan dan hasil daripada eksperimen ini tadi menyebabkan kaum pemodal antarabangsa mengaut keuntungan yang maha besar. Bijak bukan?

Atas dasar itu, para pemilik modal antarabangsa merasa puas dan yakin akan keberhasilan percubaan atau eksperimen perang ekonomi tersebut. Ini adalah langkah awal dalam mewujudkan langkah penting bagi mencetuskan perang ekonomi besar pada 1930 – yang mengakibatkan krisis ekonomi maha besar melanda hampir seluruh dunia seperti kita baca dalam buku sejarah di sekolah yang dikenali sebagai Krisis Ekonomi Dunia.

Krisis besar ini kelihatan mula mereda menjelang 1931 sehingga 1932. Tapi malangnya ia muncul lagi pada 1933. Ini adalah disebabkan kaum pemodal antarabangsa mencampakkan modalnya secara besar-besaran ke pasaran antarabangsa yang bakal mencetuskan akan kelahiran transaksi-transaksi baharu.

Pasaran diborong penyembah ekonomi kapitalis ini dengan harga sangat murah. Berita sangat malang pada masa itu ialah, dunia tidak menyedari akan hakikat dan realiti krisis ekonomi seperti itu akan melapangkan dan membuka jalan kepada perancangan bagi membawa dunia ke arah WW2.

Kenyataan di atas sengaja saya garap bagi renungan dan pemahaman pembaca. Sengaja saya lukiskan kisah bagi memahami betapa kaum pemilik modal antarabangsa merupakan pihak yang kejam.

Jika kaum pemodal antarabangsa mampu menghuru-harakan ekonomi dunia – maka tiada masalah bagi kaum pemodal antarabangsa yang berpusat di Amerika mengatur negara seperti Malaysia. Sebab itu kerja main tarik tali.

Sekejap mahu sekejap tidak ini bukan sesuatu kerja mudah. Sesudah memeterai dan bersetuju menyertai TPPA maka kita bukan boleh keluar sewenang-wenangnya atau sesuka hati keluar dan hidup bebas serta mengatur nasib sendiri. Mengatur nasib sendiri paling dibenci kaum pemodal antarabangsa.

Tiada ulasan: