Jumaat, 29 Januari 2016

TM batal rancangan kenakan caj RM5 untuk bil bercetak

 
Ia diputuskan selepas mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).


mohamed_tm_600


PETALING JAYA: Telekom Malaysia (TM) bersetuju membatalkan rancangan mengenakan caj RM5 terhadap bil bercetaknya kepada pelanggan.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang CAP, SM Mohamed Idris berkata, keputusan itu dibuat selepas TM mengadakan perbincangan dengan pihaknya.

Menurutnya, perkara itu disahkan menerusi surat yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“Dalam satu perbincangan dengan CAP, TM berkata, ia sedang menimbang semula kaedah penghantaran bil kepada pelanggannya. Dan SKMM dan Kementerian mengesahkan TM telah mengubah suai terma-terma bagi caj bil bercetaknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, caj baru bil bercetak mulai Januari 2016 adalah; bil bercetak bagi pelanggan Streamyx dan Unifi sahaja, manakala bagi pelanggan yang ingin mendapatkan bil bercetak, TM telah mengurangkan yuran sebanyak RM2 untuk kos percetakan.

Pelanggan telefon talian tetap yang tidak melanggan dengan mana-mana perkhidmatan jalur lebar akan terus menerima bil bercetak secara percuma, katanya.

“Pengguna kini boleh memilih bagaimana mereka mahu menerima bil TM masing-masing,” Ujarnya lagi.

Hujung tahun lalu, TM merancang untuk mengenakan caj RM5 untuk bil bercetak kepada pelanggan jalur lebar bagi menggalakkan lebih ramai pelanggan memilih bil elektronik.



Tiada ulasan: