KUALA LUMPUR,  Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam kejadian letupan dan tembakan di pusat bandar Jakarta, hari ini.


Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang memantau perkembangan di negara jiran itu dan menasihatkan rakyat Malaysia supaya mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Situasi sedang dipantau rapi oleh Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

“Warganegara Malaysia yang bermastautin ataupun yang melawat Jakarta dinasihatkan lebih berhati-hati dan mematuhi sebarang arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Kerajaan Malaysia turut merakamkan ucapan simpati dan takziah kepada kerajaan serta rakyat Republik Indonesia di atas kejadian tragis itu.

Kedutaan Malaysia di Jakarta boleh dihubungi menerusi talian 0062215224947, emel mwjakarta@kln.gov.my atau ke Jalan H.R. Rasuna Said, Kav. X/6, No 1-3 Kuningan, Jakarta Selatan 12950, Republik Indonesia.

Beberapa siri letupan dan insiden berbalas tembakan tercetus dekat Pusat Beli-belah Sarinah, di Jalan MH Thamrin, sebuah pondok polis berhampiran serta kafe Starbucks yang terletak di seberang pusat beli-belah terbabit.

Menurut laporan, sehingga kini, tujuh terbunuh, termasuk empat penyerang.